Bobroknya tuntutan menerima LGBT (Utusan Malaysia 17 Julai 2018)
“ORANG berakal hidup untuk masyarakatnya, bukan buat dirinya sendiri.” - Buya Hamka.
Mutakhir ini makin kerap diperdebatkan dengan hangat sekali tuntutan penerimaan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Ramai yang menghujahkan agar pengamal LGBT diterima dalam masyarakat atas alasan merit yang mampu mereka sumbangkan kepada pembangunan negara.
Ada dalam kalangan pengamal dan penyokong LGBT yang membahaskan bahawa selagi mana amalan hidup songsang mereka tidak mengganggu keamanan negara, tiada salahnya mereka wujud sama taraf dengan mana-mana rakyat lain. Di sini silapnya falasi yang dihujahkan mereka. Sebarang kebobrokan yang diterima sebagai normal hanya akan menjadikan kepincangan berakar umbi dalam kehidupan bermasyarakat.
Mengikut teori yang dikemukakan oleh pakar kriminologi Michael Gottfredson dan Travis Hirschi sejak 1990 lagi, kecenderungan seseorang untuk melakukan jenayah adalah berkait rapat dengan kawalan diri individu itu. Teori umum jenayah menyebut bahawa semakin rendah kawalan diri seseorang itu, semakin tinggi kecenderungannya untuk melakukan jenayah.
Logik dan kaitan antara kawalan diri dan tingkah laku jahat adalah mudah: Jika seseorang itu tiada kawalan untuk mengekang dirinya daripada melakukan sebarang tindakan yang dianggap sebagai tidak bermoral, delinkuen atau jahat, dan jika tindakannya dibiarkan berleluasa, tidak mustahil pada penghujungnya dia akan melakukan jenayah kecil sebelum berganjak kepada jenayah yang lebih berat. Malah inilah intisari daripada pepatah yang menyebut, siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri.
Kecondongan individu untuk melakukan kejahatan hanya akan berganda jika daripada kecil dia tidak dididik untuk mengawal nafsu dan keinginan. Namun, aktivis yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia dengan jumud dan dangkal menegakkan benang basah dengan bersungguh-sungguh mengatakan tiada kesalahan bagi masyarakat menerima mereka yang mengamalkan
hidup songsang.
Penulis sebelum ini pernah membangkitkan keperluan untuk mengimbangi hak dan tanggungjawab golongan LGBT. Sememangnya masih ada keperluan untuk memastikan LGBT tidak ditindas sehingga menyebabkan ancaman kepada kehidupan mereka. Sungguhpun begitu, tidak dinafikan perlu wujud kekangan kepada penglibatan LGBT dalam masyarakat berbudaya ketimuran.
Keperluan untuk melindungi keselamatan LGBT tidaklah sehingga membolehkan mereka diterima sebagai normal dalam masyarakat Malaysia yang masih berpaksikan kepada didikan agama Islam yang luhur dan budaya sopan santun yang beradab. Membenarkan normalisasi cara hidup songsang dalam LGBT hanya akan memecahbelahkan fitrah identiti dan naratif kebangsaan dalam negara ini.
Di negara Barat, tuntutan golongan LGBT semakin bobrok. Terkini wujud tuntutan golongan pedofilia untuk diiktiraf sebagai sebahagian daripada komuniti LGBT. Tuntutan ini adalah sebetulnya isyarat untuk menunjukkan betapa hancurnya pegangan adab dan akal pengamal dan penyokong LGBT.
Jika selama ini mereka dengan angkuh mengatakan amalan hidup mereka tidak merosakkan fabrik sosial, adakah mereka kini masih boleh dibiarkan untuk berpendirian begitu? Bukankah liwat, seks songsang, pengantunan (child grooming) dan hubungan dengan kanak-kanak adalah perbuatan yang membinasakan masyarakat?
Wajar untuk penulis juga membangkitkan tuntutan jelek golongan LGBT termasuklah seperti yang diselitkan dalam Seksyen 4 Cadangan Akta Kesaksamaan Gender. Cadangan Akta itu mentakrifkan “status perkahwinan” termasuklah status berkahwin, berpisah, bujang, bercerai, balu atau dalam hubungan yang melibatkan komitmen atau sokongan timbal-balik. Pembacaan sekali lalu sudahpun menunjukkan takrifan ini bermasalah.
Apa yang sedang cuba dimasukkan oleh aktivis hak LGBT adalah untuk mengiktiraf status perkahwinan merangkumi mereka yang hidup bersekedudukan dan pasangan LGBT asalkan saja mereka mempunyai hubungan yang melibatkan komitmen atau sokongan timbal-balik.
Adakah ini yang rakyat Malaysia mahukan dalam mengiktiraf sumbangan LGBT dalam pembangunan negara? Apakah benar masyarakat negara ini hanya akan berpeluk tubuh, memerhati tanpa kata dan membiarkan segala kekotoran sosial terpalit di atas kanvas sosial negara?
Dalam pada kebudayaan, pendidikan dan perundangan negara sudah pun cuba dijadikan sebagai suatu wadah kelangsungan tuntutan mereka. Dalam pada jarum-jarum halus mereka sudahpun mula ditusuk jauh ke dalam daging masyarakat negara ini sehinggalah suatu hari nanti daging akan membusung dan mengalir daripadanya nanah jelek.
PENULIS ialah pengamal undang-undang dan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ, sebuah NGO gabungan dalam MACSA.
* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia Jul 16, 2018.
Comments
Post a Comment