Kepentingan Dasar Induk Negara (Utusan Malaysia 04 Jun 2018)
“DARI sudut positif, kita tidak bisa membangunkan budaya keperibadian kita dengan sebaik-baiknya kalau tidak ada rasa kebangsaan yang sihat.” - Soekarno
Sebagai pemimpin Indonesia, legasi Sokerno tidak hanya terhad kepada pembentukan sebuah negara merdeka yang berdaulat. Lebih utama adalah keupayaan beliau menyatukan rakyat pelbagai etnik dalam negara itu di bawah satu dasar yang mengikat gagasan mereka.
Di Indonesia, Pancasila berfungsi sebagai falsafah kehidupan bangsa Indonesia dan juga acuan peraturan-peraturan negara, sehinggakan mana-mana pelanggaran kepada prinsip Pancasila dianggap sebagai kebiadapan yang wajar ditangani dengan keras.
Di Malaysia, sungguhpun kita melaungkan prinsip-prinsip Rukun Negara namun hakikatnya falsafah yang cuba dibentuk melalui Rukun Negara masih belum berupaya dimartabatkan oleh rakyat negara ini kendatipun sudah hampir 48 tahun diadakan. Ini jelas selepas melihat bagaimana kita kerap disajikan dengan berita-berita yang mencemar lunas Rukun Negara.
Kepercayaan kepada Tuhan sudahpun mula dihakis dengan keberadaan golongan ateis yang menafikan kewujudan Tuhan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara mula diperkotak-katikkan demi kepentingan politik picisan.
Keluhuran Perlembagaan tergugat apabila ramai yang mengesyorkan agar Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi mencapai matlamat politik peribadi. Sedangkan pegangan kepada Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan sudahpun ditalkinkan mengikut pelbagai perkembangan terkini.
Pada tahun 2015, Malaysia telah memberikan komitmen negara untuk mendukung Matlamat Pembangunan Mapan 2030 (SDG 2030) bagi mencapai pembangunan lestari menjelang 2030. Bagi melaksanakan komitmen ini, Malaysia haruslah lebih memberikan fokus kepada kesatuan rakyatnya.
Tanpa kesatuan rakyat, mustahil negara mampu membentuk pembangunan lestari. Kepincangan perpaduan antara rakyat hanya akan membawa kepada kebobrokan negara.
Baru-baru ini Majlis Perundingan Melayu (MPM) telah mencadangkan agar diwujudkan satu Dasar Induk Negara, berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan negara. Dasar Induk Negara diniatkan akan mengambil rencah daripada Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Wasiat Raja-Raja Melayu bagi mengolah satu falsafah yang wajib digarap dalam kesemua dasar, undang-undang, polisi, peraturan dan sebarang bentuk kawalan dalam negara.
Ini adalah penting bagi mengawal keadaan yang mana undang-undang negara berada dalam keadaan ketidaktentuan semenjak tampuk kepemimpinan negara berubah. Contoh apabila wujud desakan yang membangkit isu memansuhkan Akta Hasutan 1948 (Akta 15).
Perlu diamati bahawa Akta 15 berdiri teguh bagi memastikan beberapa perkara dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipersoalkan. Tujuan peruntukan ini diadakan adalah bagi memastikan kelangsungan sebuah negara yang dibentuk menuruti kontrak sosial dan dasar kedaulatan watan terpelihara.
Dasar Induk Negara juga dihasratkan supaya menjadi garis panduan kepada sebarang perubahan, penyusunan semula atau rombakan institusi. Hal ini mustahak dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan institusi-institusi yang memelihara agama, bangsa dan tanah air. Sungguhpun diakui wujud keperluan untuk institusi sedia ada diberikan nafas baru agar kekal relevan, namun pemimpin negara tidak seharusnya melayan mana-mana desakan yang menuntut agar institusi negara dimansuhkan keseluruhannya.
Sebagai contoh, gamat baru-baru ini apabila semakin ramai yang menggesa agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dimansuhkan. Gesaan ini semakin merunsingkan apabila kita amati kerajaan tidak mengadakan portfolio khusus bagi menteri yang menjaga hal-ehwal agama Islam. Sedangkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan masih memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan.
Dengan adanya Dasar Induk Negara, mana-mana kerajaan yang menjaga kebajikan negara haruslah merujuk segala gesaan, desakan atau tuntutan kepada falsafah negara. Kerajaan yang dibentuk harus menjadikan falsafah kesatuan sebagai kepentingan paling utama dalam memastikan pembangunan negara mengikut prinsip lestari. Pembangunan yang diidam-idamkan adalah hambar dan tidak bermakna tanpa kita mengambil naratif dan sejarah kebangsaan sebagai landasan yang kukuh.
Dasar Induk Negara yang akan dibentuk sebagai ikrar janji setiap rakyat Malaysia haruslah dijadikan roh kebangsaan yang dipegang erat oleh semua. Raja-raja sebagai baluarti (benteng) kesejahteraan, kedaulatan dan keharmonian negara adalah penjaga yang akan memastikan ikrar janji ini dihidupkan.
Bagi mencapai hasrat untuk meletakkan Dasar Induk Negara sebaris dengan penghormatan yang diberikan rakyat Indonesia kepada Pancasila, pendidikan kepada rakyat Malaysia tentang betapa penting dan mustahaknya falsafah kesatuan negara haruslah diperhebatkan. Negara tidak akan boleh direformasikan dengan efektif tanpa penerapan nilai-nilai murni yang ingin digarap sebagai sebuah kesatuan kebangsaan.
PENULIS ialah pengamal undang-undang.
* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia Jun 4, 2018.
Comments
Post a Comment