Undian Anak Muda: Wadah Masa Depan Negara (Utusan Malaysia 10 April 2018)



“Undi adalah lebih kuat daripada gotri.” - Abraham Lincoln.

Pada 6hb April yang lalu, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan pembubaran Parlimen Ketiga belas. Antara petikan yang menarik daripada ucapan pengumuman Dato’ Sri Najib Razak adalah prestasi yang berjaya dicapai oleh negara termasuklah pemakaian tuntutan Manhaj Maqasid Syariah dalam penggubalan dasar-dasar penting negara. Untuk kesemua ahli-ahli parlimen yang bertungkus-lumus membawa suara rakyat untuk didengarkan di dalam Dewan Rakyat, Penulis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan. 

Turut menarik minat Penulis adalah ucapan penutup Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menasihati ahli-ahli parlimen agar mementingkan etika dalam Parlimen mengatasi kepentingan politik peribadi masing-masing. Sememangnya ahli-ahli parlimen mempunyai tanggungjawab yang besar bukan saja kepada suara peribadi mereka tetapi lebih penting lagi, kepada suara rakyat-rakyat yang mengundi mereka sehingga mereka layak untuk duduk di kerusi Parlimen yang megah. 

Selepas ini akan diumumkan pula penetapan tarikh untuk Pilihan Raya Umum Keempat belas (PRU14). Mengikut peruntukan Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan, PRU14 haruslah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran Parlimen, yakni selewat-lewatnya pada 6hb Jun 2018. Perjalanan PRU14 akan dimulakan dengan pengeluaran Writ di bawah Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958 [Akta 19], yang menyatakan tarikh pilihan raya dan juga tarikh penamaan calon. 

Sudah semakin banyak yang diperkatakan tentang aspirasi dan tuntutan rakyat dalam memilih calon yang layak untuk menerima undian. Ada yang meletakkan pegangan parti politik sebagai kayu ukur utama dan ada pula yang memilih untuk melihat pencapaian terdahulu calon-calon dinamakan. 

Pada hemat penulis, antara petua terbaik yang pernah dikongsikan adalah dengan mengamati prinsip yang dipegang oleh setiap ahli politik itu dan melihat sama ada calon yang bakal diundi mementingkan hal-hal yang berkaitan dengan jati diri kebangsaan. Ini termasuklah sama ada calon memartabatkan aqidah dan syariah agama Islam yang telah diangkat sebagai agama Persekutuan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. 

Prinsip pegangan inilah yang akan menentukan sama ada seseorang ahli politik itu akan terus memastikan setiap hujahan yang dibawa suaranya dalam Dewan Rakyat nanti menyantuni etika dan menghormati tanggungjawab yang digalas. Petua ini amatlah penting bagi generasi muda sebagai pengundi, terutama bagi mereka yang akan membuang undi pilihan raya untuk pertama kali dalam PRU14. 

Generasi muda adalah golongan yang paling gelisah dalam suasana politik yang terlalu menyesakkan apabila banyak parti-parti politik dilihat semakin mengendahkan pegangan prinsip masing-masing, sehinggakan ada yang menghalalkan jalan untuk mencapai tujuan utama: kemenangan tampuk pemerintahan negara. Ramai orang muda yang telahpun mendaftarkan diri mereka sebagai pengundi namun menyatakan sokongan kepada gerakan #UndiRosak kerana kegelisahan mereka yang tidak melihat tuntutan mereka boleh digalas oleh mana-mana ahli-ahli politik negara.  

Di Malaysia, gerakan #UndiRosak dimulakan selepas pengumuman oleh Pakatan Harapan yang menamakan Tun Mahathir Mohamed. Gerakan ini telahpun dimulakan lebih awal lagi di negara-negara luar dan lebih dikenali sebagai Undian Bantahan. Contohnya di Amerika Syarikat, apabila dalam tahun 2012 Undian Bantahan disuarakan dengan melukis karakter Mickey Mouse pada kertas undian. Sedangkan di Perancis, Undian Bantahan dipanggil Undian Kosong dalam tahun 2017 yang melihat lebih 9% kertas undian dibiarkan kosong. 

Gerakan anak muda ini merisaukan memandangkan majoriti pengundi dalam PRU14 adalah golongan yang berusia antara 21 hingga 39 tahun. Daripada 14 juta pengundi berdaftar, dianggarkan 7.09 juta adalah dalam lingkungan umur ini. Maka jika #UndiRosak dilihat sebagai gerakan yang layak disokong generasi muda, sudah tentu ini akan menzahirkan permasalahan yang besar apabila undian generasi muda disia-siakan dan tidak dikira dalam pemilihan tampuk pemerintahan. Tindakan merosakkan undi adalah bersifat kebudak-budakan yang sebetulnya mengecilkan suara golongan muda. 

Undian setiap pengundi berdaftar tidak boleh disiakan begitu saja. Langkah yang harus dilakukan oleh golongan muda adalah menghakimi kewibawaan setiap ahli politik dan melihat prinsip pegangan mereka sebagai panduan utama dan bukan hanya melihat pada parti politik yang diwakilinya saja.  

PENULIS adalah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ), sebuah NGO gabungan dalam MACSA.

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia April 10, 2018
 dengan pindaan Editor sebagai 'UNDI ANAK MUDA PENTING'.

Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)