Meletakkan Hak Kepada Tahana Sesuai (Utusan Malaysia 02 April 2018)
“Rakyat yang tanpa hak hukum, bukanlah rakyat merdeka. Hak hukum yang tidak dilindungi oleh lembaga pengadilan yang mandiri adalah hukum yang ditulis di atas air.” - Kesaksian Akhir Abad, WS Rendra.
Proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) adalah mekanisma yang diwujudkan di bawah Majlis Hak Asasi Manusia (HRC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Resolusi 60/251 bertarikh 3 April 2006. Dalam proses UPR, kesemua 193 ahli PBB diundang untuk disemak takat dan pemakaian hak asasi manusia (HAM) di negara mereka, selain untuk menerima saranan ahli-ahli PBB lain bagi menambah baik takat HAM negara masing-masing.
Proses dimulakan dengan penyediaan laporan pelbagai pihak termasuklah: pertama, laporan Negara Dalam Semakan (SUR) yang disediakan kerajaan negara terlibat tentang takat HAM di negara mereka dan pemakaian mana-mana syor yang telah diterima dalam sesi semakan sebelum itu; kedua, laporan pemegang berkepentingan (stakeholders) termasuklah daripada organisasi masyarakat madani (CSO) dan institusi HAM (NHI) negara terlibat (di Malaysia, NHI adalah Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia atau SUHAKAM); dan ketiga, laporan rumusan yang disediakan oleh Pejabat Persuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia, PBB (UNOHCHR) berdasarkan penglibatan dan pendirian SUR dalam mana-mana badan triti dan prosidur khusus.
Selepas laporan-laporan ini disediakan dan dihantar kepada UNOHCHR, satu Kumpulan Kerja yang ditugaskan di bawah organisasi tersebut akan mengendalikan proses UPR. Proses dimulakan dengan pembentangan Laporan Negara oleh wakil dari kerajaan SUR sebelum negara luar diberikan masa untuk menyampaikan pandangan dan saranan mereka tentang isu HAM yang dibentangkan dan dilaporkan. Sesi ini dipanggil sebagai dialog interaktif kerana wakil delegasi SUR turut diberikan masa untuk membalas atau menjawab mana-mana isu yang dibangkit oleh negara-negara lain.
Tiga negara yang dilantik sebagai pembantu proses UPR mana-mana SUR, disebut sebagai Trioka, akan menyediakan laporan UPR berdasarkan sesi dialog interaktif ini. Laporan Trioka akan menyenaraikan kesemua saranan yang diberikan negara-negara luar kepada SUR. Selepas menerima Laporan Trioka, SUR harus hadir pula ke sesi Pengambilan untuk menyatakan sama ada saranan yang diberikan telah diterima atau ditolak oleh negara. Dalam sesi ini, wakil dari CSO juga diberikan masa untuk menyatakan pandangan mereka seperti yang dinyatakan dalam laporan pemegang kepentingan.
Negara yang telah menjalani proses semakan diberikan 5 tahun untuk memastikan saranan yang diterima, diaplikasikan pemakaiannya dalam undang-undang, dasar dan peraturan negara tersebut. Proses UPR untuk pusingan berikutnya akan bermula selepas tempoh 5 tahun ini tamat. Malaysia sendiri telah disemak sebanyak 2 kali dalam pusingan yang lalu dan akan disemak semula untuk pusingan ke-3 dalam bulan November 2018.
Sebagai pemegang kepentingan, CSO memainkan peranan yang sangat penting. Selain menyediakan laporan berkenaan dengan isu-isu HAM yang berbangkit dalam negara, CSO juga diberikan ruang untuk menyatakan saranan mereka. Kebiasaannya, CSO juga mengambil peluang untuk menjalankan kerja melobi kepada wakil-wakil negara-negara luar agar saranan yang mereka nyatakan diangkat oleh wakil negara luar ini dalam sesi dialog interaktif.
Mengambil kira betapa besarnya ruang yang dibuka untuk penglibatan CSO, beberapa NGO Islam telah mengambil keputusan untuk bergabung di bawah Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the Universal Periodic Review Process (MACSA) bagi menyatakan pandangan NGO ini tentang pemakaian HAM di Malaysia berdasarkan acuan kebangsaan dan pegangan agama Islam, yang telah dimartabatkan sebagai agama Persekutuan.
Pada 29 Mac yang lalu, gabungan MACSA telahpun memuktamadkan laporan pemegang kepentingan dan menghantarkan laporan ini ke UNOHCHR di Geneva. Antara isi kandungan penting laporan ini adalah penekanan yang diberikan kepada isu HAM seperti hak beragama bagi golongan rentan dan minoriti, hak wanita dan kanak-kanak, isu perpaduan nasional dan isu keadaan di penjara.
Sebagai antara ahli NGO yang bergabung di bawah MACSA, penulis amat berharap landasan yang diberikan ini diguna pakai sebaik-baiknya oleh semua dan tidak pula dicemarkan oleh suara-suara yang menentang pemakaian HAM menurut panduan agama dan naratif nasional.
PENULIS adalah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ), sebuah NGO gabungan dalam MACSA.
* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia April 02, 2018 dengan pindaan Editor sebagai 'HAK ASASI MANUSIA DI TEMPAT SEWAJARNYA'.
Comments
Post a Comment