Hormati institusi penguatkuasaan pilihan raya (Utusan Malaysia 30 April 2018)
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) telah membuat permohonan untuk dibenarkan sebagai pemerhati dalam proses Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Apabila permohonan ini ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ramai yang mengulas kononnya tindakan SPR adalah tidak adil dan tidak telus.
Sentimen yang disemarakkan adalah dengan mensensasikan rasa ketidakpercayaan rakyat Malaysia terhadap proses pilihan raya di negara ini. Inilah yang dilaporkan melalui kajian bertajuk Demokrasi di Asia Tenggara yang dijalankan oleh Suhakam dengan kerjasama Yayasan Kofi Annan.
Agak janggal melihat bagaimana dua entiti ini digabungkan untuk menghasilkan kajian tersebut memandangkan tujuan utama penubuhan kedua-dua entiti adalah untuk mempromosikan hak asasi manusia dan bukannya khusus kepada proses pilihan raya.
Secara amnya, kajian Suhakam dan Yayasan Kofi Annan menunjukkan tahap keraguan rakyat yang tinggi terhadap kebolehan SPR untuk memantau dan menjalankan proses pilihan raya. Namun adakah sentimen yang cuba disemarakkan ini berasas?
Rakyat Malaysia acap kali dimomokkan dengan kisah-kisah konspirasi kononnya berlaku penipuan dalam pilihan raya yang lalu bagi membolehkan kerajaan terus menang di beberapa kawasan. Antara kisah yang terkenal sehingga ke hari ini adalah kononnya wujud bas-bas yang mengangkut pengundi hantu.
Namun selepas disiasat, tiada bukti untuk mengukuhkan dongengan ini. Juga kisah kononnya berlaku sabotaj lampu padam semasa proses pengiraan undian namun tiada sebarang laporan yang dibuat dan langsung tiada bukti yang dikemukakan.
Walaupun tidak dibuktikan namun dongengan seperti ini sudah pun memberikan kesan besar kepada imej SPR dan merendahkan kepercayaan rakyat kepada satu-satunya institusi yang dipertanggungjawabkan untuk menjalankan proses pilihan raya di Malaysia. Maka tidak pelik apabila Suhakam turut mahu turun padang dan memantau persiapan dan perjalanan proses pilihan raya.
Tetapi harus digariskan bahawa Suhakam adalah suruhanjaya yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen 597 - Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia; setiap tanggungjawab dan tugas Suhakam telah pun diperuntukkan dengan jelas melalui Akta 597 ini. Seksyen 4 Akta 597 menjelaskan fungsi dan kuasa Suhakam. Jika diamati peruntukan ini, mudah difahami Suhakam langsung tidak mempunyai fungsi atau kuasa untuk memantau proses pilihan raya.
Tugas utama Suhakam adalah untuk ‘membantu melindungi dan memajukan hak asasi manusia di Malaysia’. Kendatipun memang terdapat aspek hak asasi manusia dalam setiap perkara namun pilihan raya bukanlah perkara yang memerlukan penglibatan dan kepakaran Suhakam.
Justeru, apakah keperluan pihak Suhakam campur tangan dalam proses pemantauan PRU-14? Tambahan, Suhakam sendiri tidak pernah mempunyai pengalaman untuk berfungsi sebagai pemerhati dalam pilihan raya.
Lebih bertambah celaru apabila umum maklum, SPR juga adalah suruhanjaya yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957 (Akta 31). Di bawah Seksyen 5 Akta Pilihan Raya 1958 (Akta 19), SPR dipertanggungjawabkan untuk ‘menjalankan kawalan dan penyeliaan ke atas perjalanan pilihan raya dan pendaftaran pemilih’.
Bukankah permohonan Suhakam untuk memantau proses pilihan raya suatu jalan untuk memantau juga tugas dan fungsi SPR? Jika benar permohonan Suhakam wajar dibenarkan, ini akan mencipta trend baharu yang membolehkan suruhanjaya-suruhanjaya lain yang ditubuhkan memohon untuk menyemak silang tugas dan tanggungjawab masing-masing.
Tidak mustahil, jika suatu hari nanti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pula memohon untuk memantau kerja-kerja Suhakam. SPR sudah pun menjalankan 13 kali pilihan raya sebelum ini. Maka, tiada keperluan untuk Suhakam campur tangan dalam proses pilihan raya ini melainkan jika wujud laporan pelanggaran hak asasi manusia sepanjang perjalanan PRU-14 ini. Rakyat seharusnya bijak dalam membezakan mana sentimen yang adil dan mana momokan kosong yang merendahkan proses demokrasi negara berdaulat ini.
PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ), sebuah NGO gabungan dalam MACSA.
*Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia April 30, 2018.
** Dipadamkan daripada ruangan CLJ kerana indorsemen dipersoalkan. Maka perlu ditambahkan: Rencana adalah pendapat peribadi penulis.
Comments
Post a Comment