Teliti undang-undang lindung kanak-kanak (Utusan Malaysia 05 Februari 2018)
“SUARA ‘ayah’ daripada anak-anak, itulah urat tunggang dan pucuk bulat bagi peri penghidupan manusia.” - Itu kata-kata tokoh ulama dan sasterawan terkemuka nusantara Buya Hamka.
Kebelakangan ini media kerap menyiarkan kes rogol kanak-kanak yang selalunya melibatkan ahli keluarga mangsa. Pada September 2017, negara melihat bagaimana seorang bapa didakwa dan disabitkan dengan 623 pertuduhan merogol, meliwat dan mencabul anak perempuannya yang berusia 15 tahun. Ini adalah kes terburuk dalam sejarah perundangan jenayah sumbang mahram di negara ini.
Statistik dikeluarkan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-kanak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 89 peratus daripada kes rogol di seluruh negara dalam tempoh antara 2015 hingga 2017 melibatkan pesalah dikenali mangsa, termasuklah bapa mangsa sendiri.
Selain kes itu, terdapat juga kes seorang ibu didakwa kerana melacurkan anak-anak perempuannya. Mendengar kes-kes seperti ini, tidak dapat tidak terlintas untuk bertanya, adakah wujud kelompongan dalam peruntukan dan penguatkuasaan undang-undang negara dalam melindungi kanak-kanak?
Walaupun Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) sudah pun berkuat kuasa bermula 10 Julai 2017, tetapi peruntukan akta ini seperti dipandang enteng oleh pihak yang melakukan penganiayaan seksual ke atas kanak-kanak. Hal ini berterusan meskipun Seksyen 16 memperuntukkan perihal apabila pesalah mempunyai hubungan amanah dengan mangsa.
Di bawah Seksyen 16, pesalah boleh dikenakan hukuman tambahan berupa penjara tidak melebihi lima tahun dan dua sebatan tambahan di samping hukuman khusus dikenakan ke atas kesalahan dilakukannya. Adakah dengan peruntukan yang khusus seperti ini, masih boleh dikatakan undang-undang tidak melindungi? Atau adakah kelangsungan kejadian sumbang mahram kerana masyarakat semakin nipis adab?
Penulis merasakan Akta 792 sudah memadai untuk mencukupi undang-undang jenayah seksual lain. Antara peruntukan yang paling penting dalam Akta 792 adalah dari segi penyenaraian perbuatan-perbuatan yang dianggap sebagai kesalahan di bawah Akta 792.
Beberapa perkara baik dalam Akta 792 adalah berhubung dengan takrifan yang diberikan kepada kesalahan melibatkan pornografi dan pengantunan kanak-kanak. Di bawah Bahagian II, pornografi dimaksudkan sebagai “apa-apa gambaran, melalui apa-apa cara mengenai seseorang kanak-kanak yang melakukan suatu perlakuan seksual kanak-kanak yang melakukan suatu perlakuan seksual secara terang-terangan.”
Selain membuat, menghasilkan, atau mengarahkan pornografi kanak-kanak, turut menjadi kesalahan untuk seseorang membuat persediaan bagi penghasilan, mengakses, bertukar-tukar, menjual, dan menerbitkan bahan-bahan porno melibatkan kanak-kanak. Peruntukan ini cukup kemas untuk memastikan kesemua pelaku yang melibatkan pornografi kanak-kanak boleh didakwa dan disabitkan di bawah Akta 792.
Malangnya, terdapat laporan yang menunjukkan akses ke laman-laman web pornografi kanak-kanak melalui alamat IP di Malaysia adalah yang paling tinggi di Asia Tenggara. Ini membimbangkan kerana ia menggambarkan undang-undang saja tidak mampu membanteras pornografi kanak-kanak.
Lewat bulan lalu, kita dikejutkan apabila video berdurasi 20 saat menunjukkan seorang lelaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan tular dan selepas siasatan usai, pelaku ditahan dan dikenalpasti sebagai seorang yang mengenali keluarga mangsa. Yang pelik bukan saja pelaku yang direkodkan dalam video itu, tetapi juga pihak yang merekodkan perlakuan itu tidak menegah dan penyebaran video itu tular dek kerana perbuatan perkongsian netizen yang melihat tanpa cuba membendung. Bukankah mereka yang berkongsi video itu juga harus dilihat sebagai pesalah di bawah Akta 792?
Penguat kuasa undang-undang di bawah Akta 792 harus disantuni dengan pengawasan teliti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM); bukan saja untuk menyekat akses ke laman lucah, tetapi juga untuk melaksanakan pendakwaan terhadap mereka yang melanggar undang-undang di bawah bidang kuasa SKMM. Kesatuan usaha untuk membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak perlu dipandang berat oleh semua pihak.
PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice, sebuah NGO gabungan dalam MACSA.
* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia Februari 05, 2018.
Comments
Post a Comment