Komuniti tiada kewarganegaraan (Utusan Malaysia 4 Disember 2017)

BERDASARKAN data dikeluarkan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Hal Ehwal Pelarian (UNHCR) sehingga 2013, terdapat 40,000 orang di Malaysia yang dianggap sebagai tiada kerakyatan, manakala melalui jawapan Menteri Dalam Negeri di Parlimen pada 31 Oktober 2016, perangkaan kerajaan menyatakan ada 290,437 kanak-kanak di bawah 18 tahun yang tidak memiliki kewarganegaraan dari mana-mana negara.



Daripada jumlah itu, sekitar 30,000 adalah dari komuniti Bajau Laut, atau turut dikenali sebagai kaum Pala’u yang kebanyakannya tinggal di pesisiran pantai Semporna, Sabah.

Cakna Komuniti Tiada Kewarganegaraan 2
Kerap kali, permasalahan ahli komuniti ini berpunca daripada kelahiran yang tidak didaftarkan sehinggakan hak mereka sebagai ‘rakyat’ negara ini terpinggir.

Tanpa status kewarganegaraan, anak-anak Bajau Laut tidak dapat mendaftarkan diri mereka ke sekolah-sekolah kebangsaan, mendapatkan akses penjagaan kesihatan dan hak untuk mengundi.

Sering kali juga mereka diperalatkan dan dijadikan pengemis atau digajikan sebagai ‘pekerja haram’ yang menidakkan banyak hak mereka.

Apabila isu orang tanpa kewarganegaraan dibangkitkan dalam Parlimen, acap kali perdebatan melibatkan komuniti di Sarawak atau kaum India di Semenanjung. Namun amat jarang untuk permasalahan berkaitan orang Bajau Laut diketengahkan dan hak mereka dibela sewajarnya. Dalam usaha memastikan kaum komuniti Bajau Laut tidak didiskriminasikan berdasarkan status kerakyatan mereka, terdapat cadangan agar mereka diberikan kad pengenalan hijau. Tetapi buat masa ini, cadangan tersebut tidak mendapat sambutan.

Pemakaian prinsip jus sanguinis (kerakyatan berdasarkan pertalian darah) berbanding jus soli (kerakyatan berdasarkan tempat kelahiran) digunakan dalam menentukan hak kewarganegaraan Malaysia adalah prinsip yang harus dihormati. Namun ini tidaklah sehingga mem­bolehkan kaum Bajau Laut disisihkan; lebih-lebih lagi memandangkan mereka sudah lama menetap di dalam bidang kuasa negara ini.

Artikel 12 Konvensyen Berkenaan Orang Tanpa Negara 1954 menyatakan bahawa “Status peribadi orang tanpa kewarganegaraan adalah tertakluk kepada undang-undang negara tempat dia bermastautin.” Walaupun Malaysia tidak menandatangani Konvensyen 1954 mahupun Konvensyen Mengurangkan Orang Tanpa Negara 1961, namun komitmen negara kepada komuniti ini harus diperhebatkan lagi.

Dikhuatiri, jika Malaysia tidak mengambil usaha untuk menjadikan etnik ini sebagai warganegara, mustahil untuk orang Bajau Laut memiliki kewarganegaraan dari mana-mana negara lain memandangkan ikatan mereka kepada kawasan pesisiran pantai Sabah.

Pada awal 2017, kerajaan telah mengesahkan mana-mana anak tanpa kewarganegaraan masih boleh mendaftar untuk belajar di sekolah kebangsaan dengan syarat salah seorang daripada ibu bapanya adalah warganegara Malaysia.

Namun isu ini masih berterusan tanpa penyelesaian bagi anak-anak Bajau Laut kerana rata-rata ibu bapa mereka juga tidak memiliki sebarang kewarganegaraan.

Kerajaan harus campur tangan dalam usaha mendatangkan bantuan sosial dari segi pendidikan dan penjagaan kesihatan kepada kaum Bajau Laut tanpa mendiskriminasikan hak mereka atas dasar status mereka yang tidak jelas.

Hak untuk mendapatkan pendidikan asas, penjagaan kesihatan dan perlindungan di bawah undang-undang adalah hak asasi yang harus diberikan kepada semua orang. Lebih utama lagi, tanpa pendidikan kaum Bajau Laut akan berterusan dilingkari belenggu kemiskinan dengan nasib mereka tidak terbela.

Sudah tiba masanya kerajaan Malaysia mengambil prinsip yang lebih utuh dengan mengadakan polisi lebih kemas dalam memastikan hak-hak kaum Bajau Laut ter­bela.

Hal ini selaras dengan peruntukan dalam Deklarasi Hak-Hak Asasi Manusia (UNDHR) yang menyebut dalam Artikel 26 tentang hak asasi untuk mendapatkan pendidikan asas secara percuma.

Peruntukan ini turut dipanjangkan lagi melalui Konvensyen Anti Diskriminasi dalam Pendidikan 1960 yang meletakkan kewajipan ke atas negara-negara ahli untuk memastikan tiada diskriminasi terhadap hak pendidikan warganegara masing-masing.

Hanya dengan pendidikan anak-anak Bajau Laut mampu mengubah nasib dan taraf hidup komuniti mereka. Menidakkan hak pendidikan kepada mereka samalah juga dengan menidakkan kaum Bajau Laut ke atas hak mereka untuk sama-sama mengambil bahagian dalam arus pembangunan negara.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia Disember 4, 2017.

Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)