Kertas Kerja: “Memartabatkan bahasa Melayu Sejajar dengan Peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang” (Current Law Journal, January 2017)

Kertas Kerja: “Memartabatkan Bahasa Melayu Sejajar Dengan Peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang”

oleh Fatihah Jamhariǽ

Memberikan martabat dan kemuliaan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan itu adalah sebahagian daripada semangat perjanjian kemerdekaan yang perlu terus dihidupkan dan obor memperjuangkannya hendaklah dinyalakan sepanjang masa.”

- Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

Pendahuluan

1.            Perlembagaan Persekutuan Malaysia berdiri bukan hanya sebagai dasar yang memberikan keesahan dan keabsahan kepada setiap undang-undang negara,[1] tetapi lebih utama lagi ia berdiri sebagai dokumen yang merakam kontrak sosial negara ini seperti yang telah dipersetujui dan diakui dalam perundingan mendraf perlembagaan negara.[2] Pemuafakatan yang dicapai dalam rundingan ini menjadi teras kepada penubuhan Malaysia sehingga kini dan sebarang permasalahan berkaitan dengan kedudukan perkara-perkara yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial negara ini, wajar dibawa rujuk kepada dokumen yang merakam intisari persetujuan kaum-kaum yang membentuk Malaysia.

2.            Di bawah Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan jelas memaktubkan bahawa bahasa Melayu adalah Bahasa kebangsaan. Kedudukan istimewa bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan turut disokong teguh dengan penggubalan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67,[3] dan Akta Pendidikan 1996,[4] yang secara ringkasnya menyatakan kedudukan tinggi penggunaan Bahasa Melayu dalam hal urusan rasmi dan pendidikan negara. Hal ini adalah sejajar dengan niat kaum-kaum yang membentuk Malaysia agar Bahasa Melayu berdiri utuh sebagai bahasa kebangsaan yang diraikan.

3.            Berdasarkan kedudukan istimewa ini, seharusnya Bahasa Melayu dilihat sebagai pemangkin kemajuan negara dan perpaduan nasional. Sayangnya, kebanggaan Bahasa Melayu hidup sekadar di atas kertas walhal rohnya di awang-awangan. Semakin hari ada saja pengataan yang mengugut keutamaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sehingga ada yang memanggil penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan nasional sebagai penyebab kemunduran masyarakat Malaysia di mata global.[5]

4.            Pengataan seumpama ini boleh dianggap menghina kisah sejarah Malaysia namun tidak semudah itu jika disemak kembali kepada sejarah dan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam menerima penggunaan bahasa Melayu. Perkara 161 Perlembagaan Persekutuan memberikan ruang yang lebih luas kepada Sabah dan Sarawak berkaitan dengan penggunaan Bahasa Inggeris dalam urusan rasmi di negeri-negeri tersebut.[6]

5.            Kertas ini bertujuan menyatakan dengan muktamad kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam undang-undang negara termasuklah dalam sistem pendidikan nasional, baik di Semenanjung Malaysia atau di Sabah dan Sarawak.

Sejarah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan

6.            Ringkasnya, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa i) bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan, ii) namun tiada undang-undang yang boleh digubal bagi melarang (kecuali bagi urusan rasmi) penggunaan, pengajaran dan pembelajaran bahasa lain, iii) peruntukan ini tidak menghalang kerajaan untuk menggubal polisi untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain, dan iv) bahasa Inggeris boleh digunakan dalam Parlimen, Dewan Undangan Negeri, mahkamah-mahkamah dan dalam sebarang urusan rasmi lain bagi tempoh 10 tahun (atau selama mana yang digubal Parliamen) selepas Merdeka.

7.            Penggubalan Perkara 152 adalah berdasarkan pengesyoran yang dibuat oleh Suruhanjaya Reid  selepas mengambil kira memoranda yang diserahkan oleh pelbagai pihak, termasuklah oleh Raja-raja Melayu.[7] Antara perkara yang direkodkan dalam Laporan Suruhanjaya Reid 1957 adalah persetujuan Suruhanjaya Reid ke atas perwakilan agar  bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa rasmi negara ini. Laporan tersebut juga menerangkan mengapa penggunaan bahasa-bahasa lain dalam urusan rasmi boleh terus dibenarkan untuk masa terhad, selepas mengambil kira realiti pada masa itu yang mana ramai rakyat negara ini tidak berkesempatan untuk mempelajari bahasa Melayu secara fasih. [8]

8.            Namun, Laporan Suruhanjaya Reid menolak pemakaian bahasa lain sebagai bahasa rasmi memandangkan ia tidak pernah diterimapakai sebelum itu dan jika bahasa-bahasa lain juga digunakan sebagai bahasa rasmi, ia akan menyebabkan kesusahan. Namun, pengesyoran Suruhanjaya Reid tidak menghalang notis-notis rasmi untuk terus dikeluarkan dalam bahasa Tamil dan Cina selain daripada dalam bahasa Melayu.

9.            Laporan Suruhanjaya Reid turut menganjurkan agar tiada peruntukan yang akan digubal bagi menghadkan hak seseorang calon untuk bertanding dalam pilihanraya hanya atas alasan penguasaan bahasa Melayu beliau. Dalam masa yang sama, Suruhanjaya Reid turut memberikan syor agar, untuk masa terhad dan atas alasan yang benar mustahak, penggunaan bahasa Tamil dan Cina dibenarkan dalam badan perundangan. Perlu ditekankan bahawa akhirnya syor ini telah ditolak daripada kemasukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sejarah Perkara 161 Perlembagaan Persekutuan

10.         Pada tahun 1961, bermula usaha untuk membawa Sabah, Sarawak dan Singapura masuk ke dalam Persekutuan Tanah Melayu. Usaha ini membawa kepada penubuhan Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962  bagi tujuan mendapatkan pandangan rakyat Sabah dan Sarawak mengenai cadangan pembentukan Persekutuan Malaysia.[9]

11.         Tujuan penubuhan Suruhanjaya Cobbold selain untuk  mendapatkan pandangan rakyat adalah untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan persetujuan yang dicapai di antara Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dapat dinyatakan dalam Perlembagaan. Sesuai dengan pendapat majoriti yang dikumpul oleh Suruhanjaya Cobbold, Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi, antara lain, menunjukkan penerimaan penggunaan bahasa Melayu di Sabah dan Sarawak yang terhad.

12.         Perkara 161 Perlembagaan Persekutuan memaktubkan bahawa i) tiada undang-undang yang boleh digubal bagi maksud menghadkan penggunaan bahasa Inggeris di Sabah dan Sarawak dalam tempoh masa 10 tahun dari tarikh Hari Malaysia, ii) hal ini terpakai untuk ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak dalam Majlis Parlimen, Dewan Undangan Negeri, untuk prosiding di mahkamah-mahkamah dan sebarang urusan rasmi lain di negeri-negeri itu, iii) undang-undang untuk menghadkan penggunaan bahasa Inggeris di Sabah atau Sarawak hanya boleh digubal selepas peruntukan itu diluluskan melalui enakmen Badan-Badan Perundangan Negeri terbabit, dan iv) sebarang bahasa ibunda yang digunakan di Negeri Sabah dan Sarawak boleh terus digunakan di dalam mahkamah dan Dewan Undangan melainkan selepas peruntukan untuk melarang penggunaan bahasa ibunda diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri Sabah dan Sarawak.

13.         Jelas daripada peruntukan Perkara 161 Perlembagaan Persekutuan bahawa penerimaan penggunaan bahasa Melayu bukanlah secara wajib dan rakyat di Sabah dan Sarawak tidak boleh dihalang daripada menggunakan bahasa selain bahasa Melayu melainkan melalui undang-undang yang digubal di dalam Dewan Undangan Negeri Sabah atau Sarawak.

Adalah wajar bahawa sebagai suatu Negara membangun kita memerlukan satu bahasa kepunyaan sendiri. Jika bahasa kebangsaan tidak diadakan, Negara kita akan ketiadaan nyawa.

- Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

Akta Bahasa Kebangsaan 1967

14.         Bagi memartabatkan bahasa kebangsaan dan selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang hanya membenarkan pemakaian bahasa Inggeris dalam urusan rasmi bagi tempoh 10 tahun selepas merdeka, Parlimen Malaysia telah menggubal Akta 32 yang berkuatkuasa secara keseluruhannya pada 1 September 1967.

15.         Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud-maksud rasmi. Walau bagaimanapun, peruntukan dalam Seksyen 2 turut mengambil kira perlindungan yang telah diberikan di bawah Perlembagaan Persekutuan kepada penggunaan, pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa lain.

16.         Manakala Seksyen 8 Akta 32 menetapkan bahawa segala prosiding di mahkamah hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan atau dalam bahasa Inggeris, atau sebahagian-sebahagian mengikut keperluan. Seksyen 9 Akta 32 pula memperuntukkan bahawa tulisan bagi bahasa kebangsaan adalah tulisan Rumi tetapi tidak melarang penggunaan tulisan Jawi. Mengikut Seksyen 11 Akta 32, terjemahan borang dalam bahasa Melayu boleh digunapakai.

17.         Sayangnya Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 gagal berfungsi sebagai penggubalan undang-undang yang menghadkan penggunaan bahasa lain dalam urusan rasmi. Ini kerana Seksyen 3 memperuntukkan bahawa Akta 32 tidak memprejudiskan hak Kerajaan untuk menggunakan terjemahan dokumen atau perutusan rasmi dalam mana-mana bahasa lain demi kepentingan awam. Sedangkan Seksyen 4 pula menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh membenarkan penggunaan Bahasa Inggeris dilanjutkan bagi maksud rasmi seperti yang difikirkan perlu.

18.         Peruntukan undang-undang di atas dilihat sebagai lemah dalam memastikan bahasa Melayu adalah satu-satunya bahasa kebangsaan yang harus digunakan dalam semua urusan rasmi. Sehingga kini, penggunaan bahasa Inggeris masih lebih diutamakan sehingga hampir keseluruhan prosiding undang-undang di mahkamah diteruskan dalam bahasa Inggeris. Kritikan ini juga terpakai kepada penggunaan bahasa Inggeris dalam urusan harian termasuklah notis-notis awam.

Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959

19.         Dalam usaha untuk menyemarakkan semangat sayangkan bahasa Melayu, sekumpulan sasterawan bahasa Melayu telah membentuk Angkatan Sasterawan 50 (atau juga lebih dikenali sebagai ASAS 50). ASAS ‘50 ditubuhkan oleh beberapa orang penulis Melayu yang sebahagian besarnya merupakan penulis dan pengarang Tanah Melayu yang terpaksa berhijrah ke Singapura akibat tekanan penjajah Inggeris terhadap kegiatan politik mereka.

20.         Tujuan utama ASAS 50 ditubuhkan adalah bagi memajukan bahasa dan sastera Melayu sebagai alat untuk menuju ke arah kemerdekaan, keadilan sosial dan kemajuan fikiran, selari dengan konsep perjuangannya, ‘Seni Untuk Masyarakat’.[10]

21.         Ahli-ahli ASAS 50 juga telah memperkasai usaha penubuhan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu yang merupakan majlis perhimpunan para penulis, peminat dan pecinta sastera, cendiakawan badan bahasa dan persuratan Melayu.[11] Kongres ini memainkan peranan yang besar dalam perjuangan bahasa Melayu terutama melalui peranan yang dimainkan dalam sejarah Balai Pusaka.

22.         Selaras dengan usaha mengembangkan dan memertabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan telah menubuhkan Balai Pustaka pada 22hb Jun 1956 di Johor Bharu. Melalui Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III, kerajaan telah menerima cadangan menukar nama Balai Pustaka kepada nama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). DBP juga dijadikan badan yang mempunyai anggota lembaganya sendiri. Pada tahun 1959, DBP telah dinaikkan taraf menjadi sebuah badan berkanun melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959.

23.         Dengan penaikan taraf ini, DBP diberi kuasa autonomi, iaitu kuasa untuk i) menggubal dasar yang khusus; ii) menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera; dan iii) menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku secara kompetitif menurut prinsip dan amalan perusahaan dan jurusan penerbitan.[12]

24.         Di bawah Seksyen 6A Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959,[13] Lembaga Dewan Bahasa dan Pustaka diberi kuasa dan tanggungjawab sebagai pihak berkuasa penyelaras tunggal berkenaan dengan tugas membentuk, mencipta dan membakukan istilah dalam bahasa kebangsaan. Sepadan dengan peruntukan ini sewajarnya DBP diberikan kuasa yang lebih ‘bertaring’ dan bukan hanya sekadar dijadikan pihak rujukan meluluskan penggunaan bahasa Melayu dalam iklan-iklan semata-mata.

25.         Namun hakikatnya setelah mengambil kira peranan dan kuasa yang telah diberikan kepada DBP melalui peruntukan dalam Akta 213, sehingga kini fungsi DBP masih kekal sekadar panas pesam.

Akta Pendidikan 1996

26.         Dalam usaha mencapai kemerdekaan di Tanah Melayu, pemerintahan kerajaan Inggeris menubuhkan beberapa jawatankuasa untuk mendalami permasalahan yang mungkin berbangkit dalam setiap aspek negara termasuklah dalam isu pendidikan. Kerajaan Inggeris telah membentuk Jawatankuasa Barnes pada tahun 1950 yang mencadangkan agar sistem pendidikan negara menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan ke arah perpaduan melalui pendidikan.[14] Sayangnya cadangan Laporan Barnes ditolak keras oleh masyarakat Cina dan India di Tanah Melayu atas alasan tidak bersetuju dengan cadangan di mana sekolah berbahasa Cina dan Tamil tidak diberikan pengiktirafan.

27.         Berkesinambungan daripada itu, kerajaan Inggeris telah membentuk Jawatankuasa Fenn-Wu pada tahun 1951 bagi mengkaji semula kewajaran Laporan Barnes. Antara lain, Jawatakankuasa Fenn-Wu mencadangkan agar sistem sekolah vernakular yang sedia ada diteruskan.[15]

28.         Selepas mengambil kira cadangan-cadangan daripada Laporan Barnes 1950 dan Laporan Fenn-Wu 1951, kerajaan Inggeris telah memperkenalkan Ordinan Pelajaran 1952 yang menekankan agar pengajaran Bahasa  Cina dan Tamil disediakan sekiranya terdapat permintaan, manakala Sekolah Kebangsaan, di mana bahasa Inggeris dan bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar, diangkat sebagai corak sistem persekolahan kebangsaan. Ordinan Pelajaran 1952 tidak dapat diteruskan memandangkan masih terdapat bantahan keras masyarakat Cina dan India terhadap cadangan yang dikemukakan kerana mereka merasakan pengiktirafan kepada sekolah berbahasa Cina dan Tamil sepatutnya diletakkan selari dengan sekolah berbahasa Melayu.[16]

29.         Pada tahun 1956, Menteri Pelajaran pada ketika itu, Tun Haji Abdul Razak bin Dato' Haji Hussein telah menubuhkan Jawatankuasa Pelajaran bagi tujuan mencadangkan beberapa perubahan dalam sistem pendidikan sebagai salah satu usaha membentuk Persekutuan Tanah Melayu dengan mengambil kira matlamat akhir untuk membentuk satu sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia.[17]

30.         Berikutan daripada cadangan-cadangan dalam Penyata Razak 1956, kerajaan telah menerima dan menerap cadangan ke dalam Seksyen 3 Ordinan Pelajaran 1957,[18] yang menjadi asas kepada dasar pendidikan negara.

31.         Antara dasar yang diterimapakai adalah i) bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama di sekolah, ii) bahasa Melayu dan bahasa Inggeris diwajibkan bagi semua sekolah rendah dan sekolah menengah dan iii) di sekolah jenis kebangsaan, bahasa Inggeris, Cina dan Tamil dijadikan bahasa pengantar. Ordinan Pelajaran 1957 kemudian digubal sebagai Akta Pendidikan 1961.

32.         Selanjutnya, pengenalan Akta Pendidikan 1996 adalah bertujuan untuk memajukan kecemerlangan negara melalui sistem pendidikan. Akta ini dilihat sebagai berkesinambungan daripada Akta Pendidikan 1961, yang mana peruntukan yang relevan masih dikekalkan.

33.         Akta Pendidikan 1996 turut menerima cadangan-cadangan yang dimajukan melalui Laporan Hussein Onn 1971 di mana bahasa Melayu digunakan untuk menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan juga Laporan Mahathir 1985 di mana bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua diberikan jaminan bermakna pendidikan subjek bahasa Inggeris tetap diteruskan.

34.         Mengikut Seksyen 17 Akta 550, bahasa kebangsaan menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Namun peruntukan dalam Seksyen ini juga membenarkan Menteri untuk mengecualikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di mana-mana institusi pendidikan yang ditubuhkan di negara ini berdasarkan keperluan dan kemampuan institusi berkenaan.

Sekolah Jenis Kebangsaan

“Sa-bermula ada-lah sa-besar-besar hairan dalam hatiku sebab melihatkan hal adat orang-orang kita Melayu itu, yang tidak di-perbuat-buat oleh bangsa yang lain-lain dalam dunia ini di-perbuat-nya. Adalah segala bangsa manusia dalam dunia ini membuangkan bahasa-nya sendiri, tiada tempat belajar bahasa-nya itu? Melainkan yang ku-lihat orang Melayu-lah yang tiada mengendahkan. Ada pun sebab di-perbuat-nya demikian itu kerana nenek moyang dahulu tiada berbuat adat belajar bahasa-nya itu, sampai sekarang pun ia tiada berani membuat itu"

- Abdullah Abdul Kadir Munshi

35.         Terdapat dua aliran Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), sama ada SJK Cina di mana pembelajaran dijalankan dalam bahasa Cina atau SJK Tamil di mana pembelajaran dijalankan dalam bahasa Tamil.

36.         Kewujudan sistem sekolah vernakular adalah lanjutan daripada sejarah negara Malaysia sebelum kemerdekaan dicapai di mana setiap bangsa yang membentuk Malaysia telah menubuhkan sekolah aliran bahasa bangsa masing-masing.[19]

37.          Penyata Razak telah menganjurkan agar sistem sekolah vernakular ini dimasuhkan dan pembelajaran dilakukan dalam bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan namun cadangan ini ditentang hebat dan akhirnya tidak dimasukkan ke dalam Ordinan Pendidikan 1957.[20]

39.         Sehingga kini isu kewujudan, kelangsungan dan keberkesanan sekolah vernakular masih dipertikaikan lebih-lebih lagi dalam isu membina perpaduan rakyat Malaysia.[21] Pada tahun 2010, pensyarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Professor Dr. Teo Kok Seong telah mengadakan kajian ke atas pelatih di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan mendapati bahawa majoriti pelajar dari Sekolah Kebangsaan Jenis Cina tidak mampu berbahasa Melayu.[22]

40.         Kenyataan ini membimbangkan memandangkan bahasa kebangsaan sepatutnya dilihat sebagai bahasa yang membolehkan komunikasi dan pergaulan di antara kaum.[23]  Lebih membimbangkan apabila laporan menunjukkan ramai warga Malaysia berbangsa Cina tidak mampu untuk berbahasa Melayu,[24] dan melihat keupayaan untuk menguasai bahasa kebangsaan sebagai bukan satu keutamaan.[25]

41.         Namun sebarang daya usaha untuk mengajukan cadangan perpaduan melalui sekolah satu aliran,[26] telah ditolak mentah-mentah oleh pelbagai pihak dan kebanyakan mereka menolak berdasarkan hujahan politik. Hujahan utama yang diberikan adalah bahawa setiap bangsa yang membentuk negara ini wajar diberikan ruang untuk belajar dalam bahasa ibunda masing-masing.

42.         Hujahan ini sama sekali tidak mengambil contoh daripada budaya global yang diketengahkan di negara-negara maju di mana sistem pendidikan mereka menerapkan sistem sekolah satu aliran. Mengambil negara Belanda sebagai contoh, sekolah kebangsaan di Belanda wajib menggunakan bahasa Belanda sebagai bahasa pengantar dalam separuh subjek yang diajar dan pendidikan bahasa Inggeris atau bahasa lain diberikan ruang selepas bahasa Belanda.

43.         Keadaan ini diteruskan walaupun di Belanda, bahasa Papiamento, Frisian, Perancis dan Jerman digunapakai bagi kaum-kaum lain yang membentuk hampir 20% daripada rakyat Belanda.[27]

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

44.         Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) merupakan dasar pendidikan yang diluluskan oleh Tun Dr Mahathir bin Mohamad pada 19hb Julai 2002. PPSMI mula dilaksanakan secara berperingkat pada tahun 2003 dan dilaksanakan secara menyeluruh pada tahun 2008.

45.         Tujuan dasar PPSMI dilaksanakan adalah bagi menyediakan pelajar-pelajar di sekolah-sekolah kebangsaan negara ini dengan daya saing global yang melihat penguasaan bahasa Inggeris sebagai tanda kemajuan dan pembangunan sesebuah negara.[28]

46.         Sepanjang PPSMI dilaksanakan terdapat banyak kritikan yang disuarakan oleh pelbagai pihak termasuklah oleh pihak yang paling lantang dalam isu ini, Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hasan dan Datuk Dr. Hassan Ahmad yang mengecam dasar PPSMI. Kritikan GMP terhadap dasar PPSMI adalah atas alasan bahawa i) perlaksanaan PPSMI adalah bercanggah dengan undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Akta 550, ii) pelaksanaan PPSMI akan mengancam bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu dalam jangka masa yang panjang, iii) pelaksanaan PPSMI menggelapkan masa depan pelajar sekolah luar bandar dalam bidang sains dan teknologi.[29]

47.         Kecaman yang dikemukakan oleh GMP terbukti benar apabila kajian menunjukkan kemerosotan ketara kedudukan Malaysa dalam kajian antarabangsa ‘Trends in Mathematics and Science Study 2007yang turun ke tangga 21 daripada tangga ke-20 pada tahun 2003 bagi mata pelajaran Sains. Manakala untuk mata pelajaran Matematik, kedudukan murid Malaysia juga telah merosot daripada tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007.[30]

48.         Bagi membantah pemakaian dasar PPSMI, satu saman telah difailkan dalam tahun 2006. Butiran kes akan dipanjangkan di bawah.

49.         Selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak, dan juga selepas melihat keputusan kajian mendalam yang dibuat ke atas kesan PPSMI, kerajaan Malaysia telah mengumumkan pemansuhan PPSMI pada 8hb Julai 2009.[31]

50.         Sayangnya kerajaan melalui Kementerian Pendidikan gagal mengambil iktibar daripada kegagalan PPSMI dan masih meneruskan dengan dasar Dual Language Programme (DLP) yang diperkenalkan pada tahun 2015. Dasar-dasar pendidikan kebangsaan yang memartabatkan bahasa Inggeris sebagai ‘bahasa pendidikan’ adalah percanggahan nyata terhadap peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Dual Language Programme

51.         Dual Language Programme (DLP) adalah satu program di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan telah diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Negara Bil. 21/2015 pada 13 Oktober 2015. Secara ringkas, DLP memberi pilihan kepada sekolah-sekolah yang layak untuk menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris selain daripada bahasa Melayu bagi mata pelajaran Matematik, Sains, Teknologi Maklumat dan Komunikasi.[32]

52.         Walaupun usaha murni Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melahirkan pelajar-pelajar yang fasih menggunakan bahasa Inggeris wajar diberikan penghargaan namun cara yang dipilih untuk menelusi usaha ini menjauhkan sistem pendidikan negara ini daripada roh dan nilai terapan Perlembagaan Persekutuan.

53.         Jika dirujuk kepada penyataan dalam perenggan 171, Laporan Suruhanjaya Reid 1957, dapat dilihat bahawa Suruhanjaya Reid membayangkan suatu masa di mana bahasa Melayu berdiri bangga dalam segala urusan di Malaysia sebagai bahasa kebangsaan yang sempurna tanpa ada keperluan menggunapakai bahasa lain untuk melengkapi. Sudah tiba masanya, Dasar Pendidikan Kebangsaan mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh dalam menangani masalah kualiti pelajar lulusan negara ini yang kononnya dikatakan tidak mampu berdaya saing dengan pelajar negara lain kerana penguasaan bahasa Inggeris yang rendah, tanpa menganaktirikan bahasa kebangsaan negara ini. 

Pemakaian Undang-undang Semasa

54.         Isu penggunaan bahasa Melayu menjadi isu yang hangat dalam beberapa kes terdahulu yang telah diputuskan di Mahkamah.

55.         Antara kes yang sering dijadikan duluan di Mahkamah dalam isu bahasa Melayu adalah kes Merdeka University Bhd v Government of Malaysia [1982] 1 LNS 1; [1982] 2 MLJ 243,[33] di mana sebuah syarikat telah memohon untuk mendapatkan lesen menubuhkan sebuah universiti yang menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar.

56.          Permohonon tersebut telah ditolak Yang di-Pertuan Agong dan pihak pemohon telah memfailkan guaman di Mahkamah Tinggi untuk mengisytiharkan bahawa keputusan penolakan tersebut adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Saman tersebut ditolak dan pemohon merayu sehingga ke Mahkamah Persekutuan.[34]

58.         Dalam penghakiman kes Merdeka University Bhd di peringkat Mahkamah Persekutuan, Ketua Hakim Negara, YAA Tun Mohamed Suffian bin Haji Mohamed Hashim memutuskan bahawa:

“Reading Article 152 together with the National Language Act, in our judgment, the law may be stated as follows: 1. Bahasa is the national language; 2. Bahasa is the official language; 3. A person is prohibited from using any other language for official purposes — subject to exceptions as regards the continued use of the English language allowed by section 4 and of other languages by other provisions of the National Language Act; 4. No person shall be prohibited or prevented from using (to be specific) Chinese for unofficial purposes; 5. No person shall be prohibited or prevented from teaching Chinese; 6. No person shall be prohibited or prevented from learning Chinese; 7. The Federal or a State Government has the right to preserve and sustain the use and study of the language of any non-Malay community — as indeed the Federal Government is doing in school and at the Institute of Technology, Mara, and in the Departments of Chinese and Indian Studies and in some other departments at the University of Malaya where even Arabic, Japanese, Thai and other languages are taught. (This right belongs to Government).”

59.         Daripada penghakiman Mahkamah Persekutuan ini, jelas kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan diberi martabat yang lebih tinggi berbanding bahasa-bahasa lain yang mana penggunaan hanya dibenarkan dalam hal tidak rasmi. Namun kedudukan istimewa ini tidak diterjemahkan dan digarap dalam sistem pendidikan kebangsaan sehingga ke hari ini. Walhal dalam bidang kuasa lain di seluruh dunia, negara-negara yang mempunyai peruntukan mengenai bahasa kebangsaan telah mengiktiraf keagungan bahasa kebangsaan masing-masing.

60.         Mengambil contoh perlembagaan di India dan Pakistan, terdapat juga peruntukan mengenai bahasa kebangsaan di negara-negara ini. Pada tahap ini perlu ditekankan bahawa antara ahli Suruhanjaya Reid adalah wakil dari India, Hakim B Malik yang merupakan bekas ketua hakim Mahkamah Tinggi Allahabad dan wakil dari Pakistan, Hakim Abdul Malik yang merupakan hakim Mahkamah Tinggi Pakistan Timur. Atas dasar pandangan yang diberikan oleh ahli suruhanjaya kepada cadangan dalam mendraf perlembagaan, maka adalah perlu untuk melihat juga kepada dasar perlembagaan negara ahli-ahli suruhanjaya.

61.         Contohnya di India, di bawah Perkara 343, memperuntukkan bahawa bahasa rasmi India adalah bahasa Hindi, walaupun bahasa Inggeris masih dibenarkan untuk digunakan sehingga 15 tahun selepas tarikh pemulaan pemakaian Perlembagaan India. Intipati peruntukan ini adalah hampir sama dengan peruntukan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

62.         Malahan persamaan di antara peruntukan Perkara 343 Perlembagaan India dan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan adalah ketara sehinggakan bila terdapat perbezaan dalam olahan bahasa di antara kedua-dua peruntukan ini, perbezaan tersebut telah menarik YAA Tun Mohamed Suffian untuk menyebut tentangnya dalam penghakiman kes Merdeka University Bhd.  YAA Tun Mohamed Suffian menyebut:

It is well known that our constitution is modeled on the Indian constitution, and it is to be further observed that the Indian provisions on language (see Part XVII) use the expressions "official language" and "regional languages", but not "national language". Why the language difference between the two constitutions? We think it reasonable to suppose that the framers of our Constitution deliberately chose to use the expression "national language" because they intended that bahasa should be used not only for official purposes but also as an instrument for bringing together the diverse and polyglot races that live here and thus promote national unity. Before independence there were separate schools with Malays going to Malay-language schools, Chinese to Chinese-language schools and Indians to Indian-language schools, thus keeping the three major communities apart. The only unifying factors were the comparatively few English-language schools where children of various races were taught a common syllabus in a common tongue and mixed freely and later produced the leaders who were largely instrumental in developing the country economically and politically. We think it reasonable to suppose that the framers of our Constitution who came from this group of Malayans — later Malaysians — concluded that just as before independence the English language could unify the small but highly influential group of leaders, so after independence the use of bahasa could and should be used as an instrument for unifying the whole nation.”

63.         Pada tahun 2006, sekumpulan pelajar melalui penjaga ad litem masing-masing telah memulakan saman di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa dasar PPSMI yang dikenalkan kerajaan pada tahun 2003 adalah  tidak berperlembagaan, tidak sah, terbatal dan tidak mempunyai kesan.

64.         Melalui kes Mohammad Syawwaal Mohammad Nizar & Yang Lain Lwn. Kerajaan Malaysia,[35] Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh dalam menghakimi isu-isu yang dibangkitkan telah merujuk kepada kes Merdeka University Bhd, Akta 32 dan Akta 550. Hakim memutuskan:

Seperti yang dapat diperhatikan dengan jelas, perkataan-perkataan yang digunakan oleh subseksyen 17(1) Akta Pendidikan 1996 ialah:- Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan… Subseksyen di atas tidak memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar tunggal atau sepenuhnya. Frasa 'bahasa pengantar utama' ('main medium of instruction') tidak ditafsirkan dalam mana-mana seksyen dalam Akta Pendidikan 1996. Frasa tersebut juga bukan bersifat teknikal. Dalam hal demikian, mengikut kaedah tafsiran yang mantap, erti biasa yang terdapat dalam kamus hendaklah dipakai.

65.         Hakim Mahkamah Tinggi merujuk kepada makna bahasa pengantar ‘utama’ dan menolak saman tersebut atas alasan seperti berikut:

“Pada analisis akhir, persoalan yang perlu dipertimbangkan oleh Mahkamah ini ialah sama ada dasar dan pelaksanaan PPSMI akan menjejaskan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah. Jika dilihat dari segi peratusan, pembelajaran mata pelajaran teras yang diajar di sekolah-sekolah dalam bahasa kebangsaan masih lebih tinggi peratusannya berbanding dengan mata pelajaran sains dan matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris. Ini sekali gus menunjukkan bahawa pembelajaran sains dan matematik tersebut sama sekali tidak mengubah kedudukan Bahasa Kebangsaan menjadi bahasa pengantar utama atau rasmi di Sekolah Kebangsaan.

66.         Selanjutnya, memandangkan olahan bahasa Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan adalah lebih dekat kepada bahasa dalam peruntukan Perlembagaan Pakistan, maka peruntukan Perlembagaan Pakistan mengenai bahasa kebangsaan mereka juga perlu disemak. Perkara 251 Perlembagaan Pakistan menyebut tentang bahasa Urdu sebagai bahasa kebangsaan Pakistan.

67.         Peruntukan ini telah dibincangkan dengan terperinci dalam kes Muhammad Kowkab Iqbal v. Government of Pakistan thr. Secretary Cabinet Division, Islamabad and Other Petitions,[36] di mana isu utama yang dibangkitkan adalah pemakaian peruntukan Perkara 251 yang dilihat tidak diberikan penekanan yang sewajarnya oleh kerajaan Pakistan berkaitan dengan penggunaan bahasa Urdu sebagai bahasa kebangsaan. Bagi memudahkan rujukan, Perkara 251 Perlembagaan Pakistan menyebut:

National Language 251. (1) The National language of Pakistan is Urdu, and arrangement shall be made for its being used for official and other purposes within fifteen years from the commencing day. (2) Subject to clause (1), the English language may be used for official purposes until arrangements are made for its replacement by Urdu. (3) Without prejudice to the status of the National language, a provincial language in addition to the national language.”

68.         Dalam kes Muhammad Kowkab Iqbal ini, Mahkamah Agung Pakistan memutuskan:

This record shows that other than words, no progress has been made for implementation of Article 251 of the Constitution. The Government appears to be acting on the untenable premise that it has the right not to adhere to Article 251 of the Constitution. This is most disturbing. The language of Article 251 leaves no room for such an interpretation. Article 251 uses the term “shall”, which shows that it is a mandatory provision and not an optional or directory one. Defiance of Article 251 should not be allowed.”

69.         Mahkamah Agung Pakistan turut memutuskan bahawa Kerajaan Pakistan mempunyai tanggungjawab ketat untuk mematuhi peruntukan dalam Perlembagaan mereka:

Here we may advert to Article 5 of the Constitution which stipulates that “… obedience to the Constitution and law is the inviolable obligation of every citizen …”. It also needs to be emphasized that all senior functionaries of the State take an oath to “preserve protect and defend the Constitution”. State functionaries in positions of authority  therefore, cannot give short shrift to the Constitution which they are bound to preserve, protect and obey. On various occasions we have pointed out that the rule of law begins with the powerful; if the Government itself does not follow the commands of the Constitution then it cannot legitimately exercise authority to enforce the law on the general public.

70.         Seharusnya kerajaan dan masyarakat Malaysia juga mengambil pengajaran dari Pakistan yang lebih memberi kehormatan kepada peruntukan undang-undang tertinggi mereka dengan menuntut dan menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan. Diharapkan kasih dan sayang kepada bahasa kebangsaan ini dapat dirasai dengan lebih menyeluruh di Malaysia, melalui  pemakaian undang-undang, polisi dan budaya yang diketengahkan oleh setiap lapisan masyarakat dan tidak hanya melepaskan beban kepada kerajaan. 

Bahasa Jati Diri Bangsa

“Kenal dirimu hai anak jamu

Jangan kau lupa akan diri kamu

Ilmu hakikat yogya kau ramu

Supaya terkenal akan dirimu

Jika kau kenal dirimu bapai

Elokmu itu tiada berbagai

Hamba dan Tuhan dâ‘im berdamai

Memandang dirimu jangan kau lalai

- Hamzah Fansuri

71.         Namun sayangnya bangsa Melayu sendiri semakin ramai yang mengambil bahasa Melayu sebagai hal tetek benget yang tidak punya nilai jika dibandingkan dengan bahasa Inggeris yang digunakan menyeluruh sebagai lingua franca. Sehinggakan, bangsa Melayu itu sendirilah yang membunuh perkembangan bahasa Melayu dengan kaedah pencemaran bahasa yang semakin hari mengambil semakin banyak perkataan pinjaman daripada bahasa lain terutama sekali bahasa Inggeris dan bahasa Arab.

72.         Sedangkan perkataan seperti ‘cara’ atau ‘kaedah’ sudah ada dalam kamus bahasa Melayu namun Dewan Bahasa dan Pustaka dengan mudah mengambil masuk dan menerima ‘metod’ yang dipinjam daripada bahasa Inggeris ‘method’ ke dalam kamus bahasa Melayu. Sedangkan perkataan seperti ‘janji setia’ sudah ada dalam kamus bahasa Melayu tetapi ahli politik bagi tujuan menarik undi orang Islam gemar menggunakan kata ‘wala’ yang dipinjam daripada bahasa Arab.

73.         Sikap merasa perlu bergantungan kepada bahasa lain untuk melengkapi bahasa Melayu yang sudah ada tidak membantu dalam mengembangkan bahasa kebangsaan. Sudah tiba masanya, rakyat Malaysia kembali kepada roh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan berbangga dengan kemajuan bahasa ini tanpa perlu mengambil pakai pinjaman yang tidak perlu.

74.         Tidak dinafikan timbul keadaan apabila kata pinjaman daripada bahasa asing adalah perlu dalam memastikan perkembangan bahasa kebangsaan mengikut peredaran zaman dan teknologi. Namun kita sebagai rakyat Malaysia harus bijak dalam membezakan keperluan dan kemudahan.

75.         Proses membezakan ini harus mula diterap dalam sistem pendidikan dan undang-undang yang digunapakai di dalam negara ini bagi memastikan niat asal bapa pengasas negara ini diangkat sebagai fahaman kebangsaan. Mengembalikan martabat bahasa Melayu kepada tempatnya sebagai  bahasa kebangsaan adalah proses mengembalikan jati diri rakyat Malaysia agar berdiri megah dan bangga dengan pencapaian kita sebagai sebuah negara yang bersatu.

 



ǽ Fatihah Jamhari ialah peguam yang beramal di Kuala Lumpur dan merupakan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ) (www.concernedlawyers.org).

[1] Merujuk kepada Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan.

[2] Bab 1 Laporan Suruhanjaya Reid.

[3] Akta 32: untuk Seksyen 9 hingga 11 mula berkuatkuasa pada 11hb April 1963 dan untuk Seksyen yang lain-lain mula berkuatkuasa pada 1hb September 1967.

[4] Akta 550 berkuatkuasa pada 31hb Disember 1997.

[5] Rujuk laporan akhbar berkaitan dengan pengataan Ketua Menteri Sarawak mengenai pendidikan aliran Bahasa Melayu: http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/sarawak-cm-emphasising-bm-over-english-stupid

[6] Perkara 161 dimasukkan ke dalam Perlembagaan Perseketuan melalui Akta 26/1963, dan mula berkuatkuasa pada 16hb September 1963.

[7] Mohd Rizal Yaakop & Shamrahayu A. Aziz, Kontrak Sosial Perlembagaan Persekutuan 1957: Pengikat Jati Diri Bangsa Malaysia Merdeka (2014).

[8] Perenggan 170 – 171 Laporan Suruhanjaya Reid.

[9] Penerangan sejarah penubuhan Suruhanjaya Cobbold: http://www.arkib.gov.my/web/guest/suruhanjaya-cobbold

[10] Penerangan sejarah penubuhan Angkatan Sastera 50: http://hids.arkib.gov.my/print.php?type=A&item_id=2108

[11] Penerangan sejarah penubuhan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu: http://melayuonline.com/ind/culture/dig/1817/konggres-bahasa-dan-persuratan 

[13] Akta 213 berkuatkuasa 1hb Ogos 1959.

[14] Awang Sariyan, Teras Pendidikan Bahasa Melayu (2014).

[15] Tan Yao Sua, Pendidikan Cina di Malaysia: Sejarah, Politik dan Gerakan Perjuangan (1957).

[16] Awang Sariyan, Teras Pendidikan Bahasa Melayu (2014).

[17] Penerangan sejarah Penyata Razak 1956: http://gurusejarah.blogspot.my/

[18] Tan Yao Sua, Pendidikan Cina di Malaysia: Sejarah, Politik dan Gerakan Perjuangan (1957).

[19] Najeemah Md. Yusof, Konsep Pendidikan (2007)

[20] Tan Yao Sua, Pendidikan Cina di Malaysia: Sejarah, Politik dan Gerakan Perjuangan (1957).

[21] Rujuk laporan akhbar mengenai penyataan oleh kelangsungan sekolah vernakular: https://www.utusan.com.my/berita/nasional/sekolah-vernakular-asudah-tidak-relevan-1.140657

[22] Rujuk laporan akhbar mengenai kajian ke atas penguasaan Bahasa Melayu di kalangan pelatih PLKN: https://www.utusan.com.my/berita/nasional/604-pelatih-plkn-tidak-boleh-bercakap-bahasa-melayu-1.16607

[23] Penerangan mengenai penggunaan bahasa sebagai faktor pergaulan antara kaum: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130805/re_06/Hubungan-kaum-di-Malaysia

[24] Rujuk laporan akhbar berkaitan dengan pendapat remaja tentang kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan: https://hornbillunleashed.wordpress.com/2015/02/05/68930/

[25] Rujuk laporan akhbar berkaitan dengan kajian yang dibuat oleh The Malaysian Insider mengenai kebolehan bangsa Cina di Malaysia bertutur dalam bahasa Melayu: https://hornbillunleashed.wordpress.com/2011/05/15/18194/

[27] Penerangan mengenai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan Belanda: http://www2.derand.be/livingintranslation/en/language_school.php

[28] Penerangan sejarah PPSMI: http://kumpulan25.blogspot.my/

[29] Profesor Emeritus Dr Abdullah Hassan, Mengapa Kami Bantah!(2007). 

[30] Tuah Ishak & Mohini Mohamed, Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (Ppsmi): Suatu Isu Berulang (2010).

[31] Rujuk keratan akhbar mengenai pemansuhan PPSMI: http://www.malaysiakini.com/news/108063

[32] Penerangan Jabatan Pendidikan Malaysia mengenai Dual Language Programme dalam http://www.moe.gov.my/cms/upload_files/circularfile/2015/circularfile_file_001343.pdf

[33] Diputuskan pada 06hb Julai 1982.

[34] Penerangan mengenai sejarah Merdeka University Bhd: http://www.malaysiakini.com/letters/34746

[35] Diputuskan pada 09hb Mei 2010.

[36] Diputuskan pada 08hb September 2015.

Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)