Berlaku adil kepada hak bersuara (Utusan Malaysia 6 November 2017)

HEBOH rakyat Malaysia berdesas-desus dan memperkatakan tentang kes saman fitnah melibatkan Pre­siden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap editor laman portal Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Yang dihebohkan bukanlah artikel yang dikatakan me­ngandungi fitnah terhadap Pas tetapi lebih kepada rentetan kes terutama pembelaan yang telah difailkan defendan. Secara ringkasnya, pembelaan dalam kes itu memetik pemakaian Seksyen 4 Akta Fitnah 2013 yang berkuat kuasa di United Kingdom (UK) berkaitan dengan ‘kepentingan awam’.



Pembelaan Clare Rewcastle-Brown adalah bersandarkan hak orang awam untuk mengetahui perkara yang ditulisnya dalam artikel yang dituduh telah memfitnah Pas. Di Malaysia, kita tidak mempunyai peruntukan yang sama. Yang ada dalam Akta Fitnah 1957 yang berkuat kuasa di Malaysia adalah pembelaan ‘komen berpatutan’ yang sedikit sebanyak mempunyai kaitan dengan pem­belaan kepentingan awam.

Di negara ini, seseorang defendan dalam saman fitnah mempunyai hak untuk mengatakan tohmahan yang dikatakan bukanlah fitnah kerana perkara tersebut adalah, (i) dalam bentuk ulasan, (ii) yang dibuat berlandaskan perkara yang benar, (iii) komen yang dibuat adalah berpatutan, (iv) adalah perkara yang melibatkan kepentingan awam, dan (v) ulasan yang dibuat tidak berniat jahat.

Secara umumnya, boleh dilihat pembuktian pembelaan komen berpatutan adalah lebih ketat berbanding pembelaan kepen­tingan awam yang dipakai di UK. Ini memberi kesan kepada hak untuk bersuara di Malaysia yang dilihat lebih terhad berbanding di UK. Di negara ini, mana-mana akhbar yang menyiarkan berita yang melibatkan kepentingan awam masih perlu membuktikan bahawa berita disiarkan adalah berlandaskan perkara benar dan berpatutan.

Namun di UK, apa-apa hal yang berkenaan dengan kepen­tingan awam boleh disiarkan selagi mana penerbitan dipercayai adalah berlandaskan perkara benar. Pembelaan kepentingan awam di UK terpakai walaupun pihak yang menerbitkan langsung tidak mengambil langkah-langkah tambahan untuk menyelidik sama ada tohmahan yang disiarkan adalah benar atau tidak.

Sebagai contoh di Malaysia, dalam kes Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh bin Ismail & Anor v Mohd Rafizi bin Ramli & Anor yang diputuskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Yang Arif Azizul Azmi Adnan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mendapati bahawa pihak defendan tidak boleh menggunakan pembelaan komen berpatutan kerana ulasan yang diberikan tidak berlandaskan fakta yang telah dipastikan benar. Sebaliknya dalam kes ini, tohmahan yang dibuat adalah berlandaskan pendapat dan simpulan defendan sendiri berlandaskan dokumen yang diperolehnya.

Berbalik kepada kes saman fitnah Pas lawan Sarawak Report, agak menarik untuk lihat pandangan mahkamah di UK dalam menerima pembelaan yang dikemukakan oleh Sarawak Report.

Terutama dalam pada mengambil kira bahawa sumber penulisan adalah berdasarkan kenyataan yang diberikan oleh peguam, Ambiga Sreevenasan. Dan tidaklah berlandaskan mana-mana dokumen kukuh yang benar menunjukkan Pas menerima wang se­perti yang diulaskan.

Mengambil perbezaan di antara undang-undang yang ada di UK dan di Malaysia, penulis berpendapat adalah lebih adil dan munasabah buat mahkamah yang mengadili mana-mana kes saman fitnah, untuk memastikan pembelaan kepada tohmahan dan kenyataan yang dikatakan fitnah adalah berlandaskan fakta benar. Walaupun mahkamah mempunyai amanah besar untuk mengimbangi di antara hak ke atas maklumat yang berkaitan dengan hal berkepentingan awam namun hak ini tidak boleh mematikan terus hak seseorang individu ke atas nama baik dan reputasi beliau.

Pada zaman yang memartabatkan perkongsian di media sosial di mana segala macam ragam dijadikan tular, nilai nama baik dan reputasi seseorang semakin di­pinggirkan.

Hak bersuara yang ditekankan oleh pejuang-pejuang kebebasan diuar-uarkan tanpa menyantuni imbangan yang harus dihormati.

Dalam menggunakan hak bersuara, rakyat masih bertanggungjawab untuk memastikan had-had yang dikenakan ke atas hak dan kebebasan.

Penulis pernah menyebut sebelum ini tentang sekatan-sekatan yang dikenakan ke atas kebebasan bersuara termasuklah dalam memastikan kepentingan dan keselamatan negara terpelihara, dalam kes fitnah, serta ke­nyataan berunsur hasutan.

Masyarakat dalam negara yang mengamalkan prinsip demokrasi harus bijak menimbal di antara keperluan untuk mendebatkan secara terbuka hal-hal awam yang mampu memberi kesan kepada negara dengan keperluan untuk menghormati kebenaran.

Di mana pergi kebenaran dan keadilan yang diagungkan jika tohmahan fitnah dibiarkan berleluasa?

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia November 6, 2017.

Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)