Hak asasi menurut acuan kebangsaan (Utusan Malaysia 2 Oktober 2017)
BARU-BARU ini Pelapor Khas Hak Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau lebih dikenali sebagai Special Rapporteur telah menamatkan lawatan ke Malaysia. Lawatan 11 hari ke Kuala Lumpur, Kelantan dan Sarawak itu adalah bertujuan menyediakan laporan tentang tahap pemakaian hak asasi rakyat Malaysia dalam hal kebudayaan, kesenian dan pembangunan sains seperti yang diperuntukkan di bawah Artikel 27 Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR).
Sejurus lawatan tamat, Pelapor Khas telah menyediakan laporan bertarikh 21 September 2017 yang melingkungi beberapa aspek. Laporan itu secara amnya menyentuh keadaan semasa di Malaysia berkaitan hak kebudayaan, komitmen Malaysia kepada triti antarabangsa, dan usaha Malaysia mengadakan Pelan Tindakan Hak Asasi Kebangsaan (PTHAK).
Laporan yang diketengahkan oleh Pelapor Khas itu menggambarkan usaha kerajaan Malaysia dalam memartabatkan pemeliharaan hak asasi manusia di negara ini yang wajar dipuji. Ini termasuklah usaha yang giat dijalankan di bawah Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) (dahulunya dikenali sebagai Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (BITU), Jabatan Perdana Menteri) yang ditubuhkan bagi membenarkan kerja-kerja pemantauan hak asasi, penyediaan dan pemakaian PTHAK serta penambahbaikan perkhidmatan awam dalam isu hak asasi.
Secara ratanya, usaha kerajaan Malaysia dalam menaiktarafkan penekanan terhadap hak asasi dalam negara ini telah diberikan pujian.
Namun masih ada beberapa ulasan yang mengkritik tahap hak asasi semasa. Antaranya, laporan menyebut tentang jurang kebudayaan di antara etnik yang ada di Malaysia, sikap tidak terbuka negara dalam membincangkan isu-isu sensitif, kongkongan yang dikenakan dalam pengamalan agama dan sekatan terhadap golongan yang menyokong Lesbian, Biseksual, Gay dan Transgender (LBGT).
Penulis berminat untuk memberikan ulasan kepada laporan yang disediakan Pelapor Khas itu. Antara yang paling jelas adalah penumpuan laporan kepada cadangan-cadangan agar Malaysia menerima lebih banyak lagi amalan hak asasi manusia berdasarkan standard antarabangsa.
Malangnya cadangan ini memberi kesan yang sangat besar dan apabila kita membaca huraian kepada cadangan yang dimasukkan ke dalam laporan itu, jelas terdapat banyak cadangan yang dilihat mampu menghakis keunikan sejarah dan kebudayaan kebangsaan.
Sebagai contoh, Pelapor Khas mengusulkan agar kebudayaan, agama dan tradisi semua rakyat pelbagai bangsa di Malaysia diletakkan di atas platform yang sama rata tanpa memberikan kelebihan kepada mana-mana kumpulan bangsa melebihi yang lain.
Usul ini mampu menghakis hak keistimewaan orang Melayu dan anak negeri seperti yang diperuntukkan jelas dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Laporan juga mencadangkan agar pengistilahan kaum tidak dikaitkan lagi dengan agama atau kepercayaan seseorang itu. Hal ini jelas bercanggah dengan takrifan menurut Perkara 160 yang memaktubkan bahawa ‘Orang Melayu’ seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan lahir sebelum 31 Ogos 1957 di Malaysia atau Singapura atau mempunyai ibu bapa yang lahir di Malaysia atau Singapura.
Pelapor Khas turut membangkitkan isu penukaran agama anak secara unilateral yang adalah isu berbangkit di bawah cadangan pindaan kepada Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.
Isu ini harus diselesaikan dengan mengimbangi keistimewaan fabrik sosial di Malaysia. Keengganan mana-mana pihak untuk mempertimbangkan kedudukan istimewa Islam sebagai Agama Persekutuan di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menyebabkan perbincangan isu ini menjadi terbatas.
Cadangan yang dikemukakan turut menyelit usul untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang dikatakan menidakkan jaminan kebebasan ekspresi. Sebagai contoh, Pelapor Khas menamakan tuduhan jenayah terhadap kartunis Zunar yang dibuat berdasarkan Akta 15 dan meminta agar tuduhan tersebut digugurkan.
Walaupun kebebasan untuk berekspresi adalah penting dalam membangunkan kebudayaan sesebuah negara, namun memberikan ruang yang tidak bersempadan dalam mengamalkan hak kebebasan ini bukanlah usul yang ideal.
Sebetulnya peruntukan dalam Akta 15 memastikan hal-hal yang dilihat penting dan membentuk kontrak sosial rakyat di bawah Perlembagaan Persekutuan dipelihara daripada sebarang hasutan untuk mempersoalkan hal-hal ini.
Rumusannya, tidak wajar pengesyoran yang dimajukan Pelapor Khas diberikan pertimbangan tanpa mengambil kira juga ketersendirian Malaysia yang dibentuk oleh masyarakat majmuk.
Setiap inti masyarakat ini mempunyai nilai-nilai dan juga keistimewaan masing-masing yang harus diberikan penghormatan dan tidak diambil mudah. Dalam Malaysia memastikan obligasi antarabangsa di mata dunia terpelihara, haruslah kerajaan juga memastikan sejarah dan naratif negara tidak digadaikan atas nama kemajuan.
PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).
*Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia Oktober 2, 2017.
Comments
Post a Comment