Cadangan pindaan di bawah RUU 164 bukan jalan baik (Tanjak.my 18 Julai 2017)

Parlimen akan kembali bersidang bermula 24 Julai selama 12 hari dan walaupun aturan mesyuarat untuk sesi akan datang masih belum dikeluarkan, namun rata-rata sudah ramai yang tahu apa yang akan dibentangkan di mesyuarat Dewan Rakyat sesi ini.

Antara pembentangan dan perdebatan yang akan menarik banyak perhatian tentu saja berkaitan dengan perdebatan cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) dan Rang Undang-undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 (RUU 164).

Apakah RUU 164?
RUU 164 adalah cadangan pindaan ke atas Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 (Akta 164).

Terdapat tujuh cadangan pindaan dalam RUU 164 namun yang menjadi isu kontroversi adalah beberapa cadangan peruntukan baru yang dilihat berupaya menghakis hak pasangan dan ibu bapa mualaf.

Sejarah RUU 164
RUU 164 adalah sebuah Rang Undang-undang yang diusulkan oleh pihak kerajaan dan pada 21 Nov tahun lepas, Parlimen telah mende­ngar bacaan kali pertama RUU164 seperti yang telah dibentangkan oleh Azalina Othman Said (gambar bawah) selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamid mengatakan bahawa pembentangan RUU 164 adalah selepas mempertimbangkan kepentingan rakyat.

Secara khususnya, ini tentu saja merujuk kepada lambakan kes-kes penceraian yang membawa kepada perebutan hak penjagaan anak-anak kepada pasangan mualaf.

Isu bertambah rumit lagi apabila berlaku pertukaran agama anak yang dipersetujui oleh hanya salah seorang ibu atau bapa yang mualaf tanpa mendapat persetujuan bersama pasangan yang bukan Islam.

Hal ini turut ditekankan dalam huraian RUU 164 yang menyebut bahawa cadangan pindaan adalah selepas mengambil kira beberapa kes-kes yang menjadi kontroversi dan mendapat perhatian keseluruhan negara. Antara kes-kes yang disebut dalam huraian itu adalah:

  1. Teh Siew Choo v. Teo Eng Hua
  2. Kung Lim Siew (P) v. Choong Chee Kuan
  3. Shamala a/p Sathiyaseelan v. Dr Jeyaganesh a/l C. Mogarajah
  4. Tang Sung Mooi v. Too Miew Kim
  5. Subashini a/p Rajasingam v. Saravanan a/l Thangatoray
  6. Viran a/l Nagapan v. Deepa a/p Subramaniam
Ringkasan huraian cadangan pindaan
Pindaan kepada seksyen 3 Akta 164 bertujuan untuk membolehkan sesuatu pihak dalam perkahwinan bilamana ada pasangan yang telah masuk Islam untuk menyerahkan petisyen perceraian di hadapan mahkamah sivil di bawah Akta 164.

Pada masa sekarang, hak untuk menyerahkan petisyen perceraian hanya diberikan kepada pihak yang tidak masuk Islam. Orang yang masuk Islam tidak boleh memohon perceraian di bawah Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam kerana Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan apa-apa kes jika pihak bukan Islam terlibat.

Pindaan kepada seksyen 12(1) bertujuan untuk meminda subseksyen 12(1) Akta 164 bagi memberikan hak yang sama rata dalam memberikan persetujuan bagi perkahwinan kepada ibu atau ibu angkat seseorang yang di bawah umur 21 tahun, sama seperti yang diberikan kepada bapa.

Pindaan subseksyen 51(1) Akta 164 adalah untuk membolehkan sesuatu pihak kepada sesuatu perkahwinan yang telah masuk Islam atau kedua-dua pihak untuk menyerahkan petisyen perceraian.

Kemasukan seksyen baharu seksyen 51A ke dalam Akta 164 untuk memastikan bahawa waris terdekat orang yang masuk Islam yang kemudiannya meninggal dunia sebelum perkahwinan bukan Islam itu dibubarkan berhak kepada aset perkahwinan itu. Dalam membuat pembahagian itu, mahkamah hendaklah mengambil kira takat sumbangan yang telah diberikan terhadap pemerolehan aset itu, hutang yang terhutang, tempoh perkahwinan itu dan keperluan anak-anak.

Pindaan kepada  seksyen 76 untuk membenarkan mahkamah untuk mengambil kira bayaran perbelanjaan untuk faedah keluarga, takat sumbangan yang telah diberikan oleh pihak lain yang tidak memperoleh aset itu untuk kebajikan keluarga dengan menjaga rumah atau menyayangi keluarga, dan juga tempoh perkahwinan itu bagi maksud kesamarataan pembahagian aset perkahwinan.

Kemasukan seksyen baharu seksyen 88A ke dalam Akta 164 untuk memperuntukkan bagi status agama anak jika bapa atau ibunya masuk Islam.

Pindaan kepada seksyen 95 Akta 164 adalah untuk melanjutkan tempoh perintah nafkah jika seorang anak mengikuti pelajaran atau latihan lanjut atau lebih tinggi.

Cadangan pindaan kontroversi
Ramai pihak menentang cadangan pindaan yang dibawa melalui RUU 164 terutama bagi perkara-perkara yang menidakkan hak seorang ibu bapa mualaf.

Antara yang dibangkitkan adalah isu menidakkan hak mualaf untuk menentukan agama anak mereka. Sebelum ini, pertukaran agama anak boleh dilakukan dengan kebenaran salah seorang daripada ibu atau bapa anak itu tetapi jika pindaan diluluskan, kedua-dua ibu bapa anak itu kenalah bersetuju dengan pertukaran agama anak.

Sebelum kerajaan membawa cadangan-cadangan pindaan yang mengecilkan hak sesuatu komuniti, seharusnya ahli komuniti itu dirujuk. Hal ini diketengahkan oleh Mustapha Ma yang merupakan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma).

Antara lain beliau menyebut:

“Sebab pindaan undang-undang ini akan sekaligus merampas hak-hak mualaf. Jadi saya selalu mengatakan don’t forget, mualaf is a Muslim. Whether he was a Muslim or not a Muslim before is [irrelevant]. Tetapi pada masa ini, his rights are going to be deprived right across the board”

Perkembangan menarik kes Subashini v. Saravanan
Pada tahun 2007, nama R. Subashini dan T. Saravanan mendapat perhatian rakyat Malaysia apabila pergelokan kes penceraian yang difailkan oleh Subashini mula dilaporkan di media massa.

Di bawah peruntukan Akta 164 seperti yang sedia ada, Subashini hanya boleh memfailkan petisyen perceraian terhadap suaminya selepas tamatnya tempoh tiga bulan dari tarikh Saravanan memeluk Islam. Bagaimanapun, Subashini telah memfailkan petisyen perceraian itu 12 hari sebelum tamat tempoh tiga bulan berkenaan.

Yang menariknya, selepas bergelut untuk mendapatkan hak penjagaan melalui sistem mahkamah sivil di bawah peruntukan Akta 164, akhirnya dalam tahun 2010, Subashini telah memeluk Islam dan kini tinggal bersama suaminya, Saravanan.

Persoalannya sekarang, adakah kerajaan dengan tanpa segan silu akan meneruskan bacaan kali kedua RUU 164 tanpa terlebih dahulu menyantuni komuniti mualaf yang akan terkesan dengan undang-undang baru di bawah RUU 164?

Walaupun memang diakui perlu ditemukan jalan penyelesaian yang lebih kondusif dan konklusif bagi menyelesaikan masalah di antara pasangan yang mualaf, namun cadangan pindaan di bawah RUU 164 bukanlah jalan yang baik. Terutama sekali melihatkan terlalu besar pelanggaran hak mualaf yang akan berlaku jika RUU 164 diteruskan.

Jalan alternatif adalah dengan memperkasakan kewujudan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil dan memastikan jawatankuasa ini mempunyai kuasa yang lebih utuh untuk menentukan dan memutuskan sebarang permohonan yang melibatkan pasangan mualaf.

*Fatihah Jamhari seorang peguam dan aktivis.

*Disiarkan kali pertama di Tanjak.my pada Jul 18, 2017

Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)