Memahami istilah bangsa Malaysia (Utusan Malaysia 1 Mei 2017)
PEMAHAMAN maksud bangsa Malaysia telah berubah-ubah mengikut keselesaan pemimpin politik yang menggunakan istilah ini. Dalam tahun 1991, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menggunakan bangsa Malaysia dalam Visi 2020 bagi menjemput sumbangan setiap warganegara Malaysia ke arah pembangunan negara. Kini idea yang sama masih dilihat relevan dalam inisiatif Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Lanjutan itu, ramai ahli politik, baik daripada pihak kerajaan atau pembangkang yang mengulang-ulang istilah ini bagaikan istilah keramat bagi mencapai matlamat masing-masing. Sehinggakan ada yang ingin mendaftarkan kelahiran baharu sebagai ‘Anak Malaysia’ untuk menentang klasifikasi kaum sedia ada, yang mana pilihan yang diberikan hanyalah terhad kepada kaum majoriti Melayu, Cina, India atau bumiputera.
Dengan memilih istilah yang kononnya lebih generik, mereka menganggap idea mereka ‘bersih’ daripada percikan perkauman, yang kini dilihat sebagai istilah negatif yang menidakkan pembangunan dan perpaduan nasional. Walhal, peruntukan mengenai kaum adalah berdasarkan terma-terma kontrak sosial yang diikat berlandaskan sejarah dan pertimbangan timbal-balik setiap kaum yang membentuk Malaysia.
Antara konsep yang sering dikaitkan dengan bangsa Malaysia adalah kesamarataan, perpaduan, dan meritokrasi. Bagi sesetengah pihak, konsep-konsep ini dilihat sebagai meletakkan identiti negara melebihi identiti kaum, agama mahupun bahasa. Walaupun penulis akui konsep-konsep ini di permukaannya kelihatan baik, namun haruslah diselidik secara kritis sebelum diambil secara harfiah.
Sebagai titik permulaan, kita harus kembali kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang tidak pernah menyebut tentang ‘bangsa’ apatah lagi ‘Bangsa Malaysia’. Apa yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan hanyalah istilah berkaitan kaum yang disebut melalui Perkara 89 berkenaan dengan Tanah Simpanan Melayu, Perkara 149 mengenai undang-undang menentang permusuhan kaum, Perkara 152 tentang bahasa kaum lain, dan Perkara 153 berkenaan dengan kuota kaum Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak.
Jadi dari manakah datangnya istilah bangsa Malaysia? Adakah hanya kerana terdapat beberapa peruntukan yang memberikan kuota memihak kepada kaum Melayu dan anak negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan, maka dokumen ini terus dikecam sebagai tidak adil, rasis dan berat sebelah? Bukankah Perlembagaan Persekutuan bukti kepada terma kontrak sosial yang sudah dimeterai berpuluh tahun lamanya? Lebih buruk lagi, sudah hilangkah semangat perpaduan yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sehinggakan rakyat negara ini perlu menggunakan konsep baharu untuk menzahirkan perpaduan?
Pertamanya, penulis menegaskan bahawa tiada diskriminasi terhadap kaum bukan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan pemakaian konsep asing seperti bangsa Malaysia. Ini kerana dalam undang-undang yang telah diputuskan dalam kes Kerajaan Negeri Selangor & lain-lain v. Sagong Tasi & lain-lain, prinsip diskriminasi positif dalam Perlembagaan Persekutuan telah pun diberikan keesahan. Malahan kes ini hanyalah satu daripada puluhan lagi kes yang telah dihakimi mahkamah dan mengesahkan peruntukan mengenai hal ini.
Selanjutnya, jika benar apa yang ingin dicapai di penghujungnya adalah agar setiap rakyat Malaysia dapat menyumbang ke arah pembangunan dan perpaduan negara, suatu konsep baharu yang tidak berpaksi di atas Perlembagaan Persekutuan tidak perlu diadakan. Rakyat Malaysia akan dapat mencapai pembangunan pesat dan perpaduan harmoni jika semua menghormati apa yang sudah sedia ada. Maka seharusnya, program untuk mendidik masyarakat agar kembali kepada fitrah negara perlu diperhebatkan lagi.
Contohnya di Indonesia, antara mata pelajaran wajib yang perlu diambil oleh setiap pelajar seawal usia 6 tahun, adalah subjek Pendidikan Kewarganegaraan yang antara lain mengajar pelajar Indonesia untuk memahami maksud identiti nasional, prinsip Pancasila, dan jenis warganegara di Indonesia. Pendidikan Kewarganegaraan memastikan setiap rakyat Indonesia faham identiti kebangsaan yang perlu diangkat melebihi identiti perkauman tanpa menidakkan sejarah kaum masing-masing.
Berbeza di Malaysia, konsep sama hanya diterapkan dalam Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang telah dirombak semula pada 2014. Tambahan pula, subjek kewarganegaraan yang kini diserap dalam mata pelajaran Sejarah hanya diajarkan kepada pelajar berusia 10 tahun ke atas. Anak-anak yang dilahirkan sebagai warganegara Malaysia perlu dididik daripada awal lagi tentang sejarah negara ini.
Pendidikan kewarganegaraan harus menekankan terma-terma kontrak sosial berkaitan Islam sebagai Agama Persekutuan di bawah Perkara 3, Hak Kewarganegaraan di bawah Bahagian III, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di bawah Perkara 152, dan Kuota Melayu dan Anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Penekanan dalam pendidikan akan melahirkan sikap patriotik dalam rakyat Malaysia yang inginkan pembangunan dan perpaduan secara semula jadi dan bukanlah dengan penciptaan formula baharu yang hanya menyelesaikan masalah secara dangkal tanpa hala tuju sebenar. Jangan kerana ahli politik yang inginkan undian populariti, sejarah negara ini diubah dengan naratif asing yang janggal daripada realiti sebenar.
PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).
* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia Mei 1, 2017.
Comments
Post a Comment