Nasib anak-anak GISB (Utusan Malaysia 4 Okt 2024)

ISLAM datang menghapuskan taksub dan membanggakan persukuan dan kaum sendiri. Islam menyerukan bahawa seluruh manusia sama harganya, yang tinggi hanyalah yang lebih takwa kepada Allah.” – Buya Hamka.



Pembongkaran, penyiasatan dan akhirnya pertuduhan terhadap kumpulan, berciri kultus, Global Ikhwan Services and Business Holding mendedahkan sisi gelap yang amat menjijikkan tentang kesan ketaksuban yang menular dalam sesuatu komuniti apabila melibatkan agama. Meskipun pada asalnya yang ditawarkan adalah cara hidup menyeluruh berteraskan prinsip Islam, namun akhirnya setiap prinsip itu dicemari sehingga kini mendatangkan fitnah kepada agama suci ini. 

Dalam Maqasid Syariah, ditekankan pemelihara terhadap nasab atau keturunan kerana kesucian keturunan menjaga kemaslahatan umat – bayangkan saja jika agama tidak dipasakkan kepada penjagaan nasab lalu seorang abang dibenarkan mengahwini adik perempuan kandungnya sendiri, atau mak saudara dibenarkan menikahi anak saudara, apa akan jadi dengan genetik keturunan ini? Sedangka kajian genetik manusia sudah semakin banyak yang menyebut tentang padah sumbang mahram. 

Hampir tidak terjangkau dek akal memikirkan bagaimana dalam zaman serba moden, dengan imej kopiah, jubah dan serban mengaburi mata, satu kumpulan besar boleh melahirkan beratus-ratus orang anak yang tidak diketahui salasilah keluarganya. Lebih kejam, mak ayah berhati kaldu sanggup membiarkan anak membesar dengan kepercayaan bahawa mereka kononnya anak yatim-piatu tanpa perlindungan ahli keluarga. Tegar hati seorang ibu menitipkan anak ke pusat-pusat jagaan tanpa diberitahu kepada anak itu siapa bapanya, mana asal-usulnya.

572 orang kanak-kanak yang ditemui di beberapa rumah jagaan di seluruh Malaysia telah diselamatkan dan ditempatkan dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Tiada seorang pun ibu bapa yang datang menuntut anak mereka. Apa akan jadi kepada anak-anak ini? 

Minggu ini perdebatan hebat dalam kalangan warga maya membicarakan pula status pendaftaran sivil dan pemilikan dokumen pengenalan diri anak-anak ini. Tanpa maklumat lengkap si bapa, anak-anak ini dinasabkan dengan bin atau binti Abdullah. Sefaham saya, meskipun tanpa ayah yang mahu memperakui anak-anak ini, sudah tentu setiap anak-anak boleh diikatkan kepada pertaliannya dengan si ibu. 

Namun pelik dan menyedihkan apabila ada pula yang membangkitkan kemungkinan anak-anak ini tidak dapat ditentusahkan ibu mereka. Maka bukan saja mereka tergapai tanpa leluhur yang mampu melindungi mereka, kini mereka dibebani pula dengan kemungkinan permasalahan kewarganegaraan yang serius. 

 

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).


*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Okt 4, 2024 dengan pindaan Editor sebagai 'Bela nasib mangsa GISBH walaupun dengan jalan yang keras'.


Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)