Kejar cukai marhaen, lepas jerung besar (Utusan Malaysia 18 Okt 2024)
“UNTUK menjaga martabat iman maka ulama-ulama pun memberi ingat bahawasanya orang yang tidak patut menerima zakat kerana dia ada kemampuan, lalu diterimanya zakat itu, adalah haram hukumnya.” – Buya Hamka.
Perkara pelik yang ajaib berlaku bulan lalu. GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) yang mempunyai pemilikan aset bernilai jutaan ringgit di serata negara, malah dunia, didapati tidak pernah membayar zakat kepada kerajaan negeri-negeri tempat mereka beroperasi. Sebagai perniagaan yang kononnya berasaskan ekonomi Muslim, aneh syarikat tidak ada langsung rasa kewajipan untuk sama-sama membangunkan institusi zakat dalam negara bagi dimanfaatkan sesama Muslim.
Lebih sadis lagi apabila diumumkan oleh Ketua Polis Negara bahawa hasil siasatan bersepadu, yang dijalankan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), mendapati bahawa GISB juga tidak pernah bayar cukai berkaitan. Bagaimana suatu syarikat dengan jumlah pegangan ekuiti dalam pasaran yang besar mampu terus beroperasi tanpa perlu menuruti peraturan dalam sistem ekonomi negara?
Perkara yang serupa pelik berlaku minggu lalu. Tular berita kononnya ada arahan oleh kerajaan untuk mengecualikan pembayaran cukai tertunggak dan denda yang sebelum ini telah dikenakan terhadap Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Terkebil-kebil lagi rakyat membaca berita yang menyebut bahawa jumlah yang ingin dikecualikan adalah sekitar RM83 juta. Walaupun Kementerian Kewangan telah menyatakan bahawa masih belum ada keputusan muktamad dalam pengecualian ini, namun kemungkinan pengecualian berlaku, masih ada.
Insiden culas membayar cukai bukan kejadian terpencil sebaliknya sudah kerap dilaporkan. Awal tahun ini isteri Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid memohon semakan kehakiman dalam percubaan membatalkan penilaian pihak berkuasa bahawa dia berhutang lebih RM313 juta kepada pihak LHDN. Tahun lalu Mahkamah Persekutuan mengarahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin agar masing-masing menjelaskan cukai yang tidak dibayar sebanyak RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.
Jun tahun ini, sisatan bersepadu di antara LHDN, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah berjaya membongkarkan kegiatan sindiket penyeludupan terbesar di Pelabuhan Klang. Siasatan awal mendapati bahawa sindiket tersebut memiliki lebih 10 syarikat penghantaran yang digunakan bagi menyeludup barang-barang import dengan membuat pengisytiharan cukai palsu. Jumlah cukai yang berjaya mereka elak bayar melalui sindekat ini bagi tempoh 10 tahun adalah sebanyak RM3.5 billion.
Sebagai perbandingan, jumlah peruntukan negara bagi menambah baik kemudahan makmal komputer di sekolah-sekolah seluruh negara adalah sebanyak RM100 juta bagi tahun 2024. Atau dalam perbandingan lain, Belanjawan Sabah 2024 memperuntukkan RM101 juta untuk biasiswa dan dermasiswa buat manfaat 1,500 orang pelajar institusi pengajian tinggi. Jumlah RM83 juta kelihatan kecil di atas kertas tapi hakikatnya di lapangan mampu merubah nasib dan kehidupan ribuan rakyat.
Dalam hal pungutan cukai atau zakat yang bertujuan disalurkan untuk kegunaan rakyat, janganlah pihak-pihak berkuasa berhakim kepada beruk. Jumlah cukai jutaan ringgit yang enggan dibayar syarikat besar tidak boleh dianggap remeh dalam pada ratusan sekolah-sekolah di kawasan pedalaman di serata negara berterusan daif dan serba-serbi memerlukan.
Apabila rakyat memohon bantuan atau merayu agar diberikan infrastruktur yang baik, laju kerajaan membalas tiada bajet. Sedangkan cukai korporat yang menjadi punca kewangan negara tidak dipantau dengan lebih ketat.
Sehingga kini masih belum ada ura-ura Kerajaan akan menuntut pembayaran cukai daripada GISB bagi keuntungan yang diperolehi sepanjang syarikat ini beroperasi di dalam negara. Saya amat berharap kesemua aset milik syarikat ini yang telah disita dan dibekukan akan dinilai semula agar mana-mana jumlah yang sepatutnya diperuntukkan untuk cukai dan zakat dapat dilangsaikan terlebih dahulu.
Barulah ada keadilan dalam sistem ekonomi yang sekarang ini dilihat sangat garang terhadap rakyat marhaen tetapi langsung tidak bertaring terhadap golongan kapitalis kaparat. Kalau kapitalis kaparat, berpuluh tahun mengumpul keuntungan bernilai puluhan juta dianggap seperti celah gigi. Sedangkan kalau rakyat marhaen yang saban bulan cukup-cukup makan, baru beli kereta buatan tempatan bulan ini, bulan depan sudah ada surat audit daripada LHDN.
Sebagai rakyat Malaysia yang bersemangat patriotik dan nasionalis, pembayaran cukai adalah tanggungjawab sivik yang harus digendong bersama. Bagi pengelat cukai, tindakan mereka bukan saja suatu jenayah kewangan yang mengganggu-gugat kelancaran ekonomi negara, tetapi sebenarnya adalah pengkhianatan yang jelas kepada negara.
Pengkhianat negara seperti mereka tidak segan menjadi lintah darat yang menghisap hasil bumi Malaysia dan mengaut keuntungan yang dikumpulkan sepanjang berniaga dalam negara. Apakah pulangan yang mereka berikan kepada negara jika hasil dibolot sepenuhnya tanpa rasa tanggungjawab untuk menyumbang kepada pembinaan negara? Tiada. Sikap mereka ini sebetulnya tidak ubah seperti parasit.
Sudah tiba masa negara melihat pengkhianatan dalam bentuk penipuan cukai sebagai jenayah yang lebih berat. Masyarakat Malaysia juga perlu didedahkan bahawa mengelak daripada membayar cukai bukan hanya sikap tidak bertanggungjawab tetapi juga perbuatan yang menghina negara.
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).
*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Okt 18, 2024 dengan pindaan Editor sebagai 'Pengelat cukai penjenayah, pengkhianat negara'.
Comments
Post a Comment