Ramai rupanya wartawan Malaysia yang cacat otak (UNPUBLISHED)

Di bawah adalah rencana kedua ditolak daripada penyiaran yang diniatkan untuk 16/08/2024:


Qauwwamuna bererti memimpin supaya tegak. Membimbing supaya dapat berjalan, memapah supaya jangan jatuh! Atau menarik naik kalau sudah tergelincir jatuh. Tegak ke muka kalau bahaya datang mengancam. Mengajar kalau ilmunya masih kurang. Memujuk kalau dia dalam kesedihan. Di samping itu mencukupkan apa keperluannya, kainnya, bajunya, perhiasannya, yang sepanjang tubuh, sepanjang bayang-bayang. Itulah tugas lelaki membela perempuan. Ertinya mengikut kekuatan dan kemampuan si lelaki.” – Buya Hamka

Disember tahun lalu, tular berita kehilangan Bella. Sebulan kemudian rangkanya ditemui dalam sebuah rumah yang ditinggalkan. Akhbar dan media galak menamakan suspek sebagai bekas teman lelaki Bella. Pada 11 Julai lalu, permohonan rakan-rakan Farah Kartini Abdullah di media sosial tular agar orang ramai membantu dalam pencarian sahabat mereka yang sudah seharian hilang tanpa kesan. 15 Julai, mayat beliau ditemui. Beliau telah dibunuh. Sekali lagi dada akhbar dan media hangat memperkatakan suspek sebagai teman lelaki Farah Kartini.

Malah ada pula netizen yang busuk hati tergamak membuat spekulasi yang menjatuhkan maruah arwah yang sudah tiada, hanya dengan berimaginasi tentang hubungan seorang pembunuh dan mangsa, yang hakikatnya netizen tidak pernah kenalpun ketika beliau hidup.

Melenting kawan-kawan Farah Kartini di media merayu agar nama baik sahabat mereka dijaga. Ada rakan lelaki Farah Kartini yang pernah mengikuti program kesukarelawanan bersama beliau ke hadapa dan lantang bersuara bagi menceritakan peribadi mulia beliau termasuklah dalam hal menjaga ajaran agama. Sayang sekali undang-undang tidak membolehkan waris si mati untuk membawa tindakan saman fitnah terhadap mulut-mulut celupar di media sosial.

Kini, kehilangan Cikgu Istiqomah sejak Disember tahun lalu juga menerima nasib yang sama. Mayatnya ditemui dalam keadaan yang amat menyayat hati. Dalam pada suami, anak-anak dan kesemua keluarga arwah masih cuba memahami apa yang telah berlaku, wartawan media yang seolah-olah tidak pernah diajar etika dengan laju melabelkan suspek sebagai teman lelaki arwah. Langsung kita lupa bakti mangsa sebagai seorang pendidik bangsa yang bukan saja sudah bersuami tetapi juga ibu kepada tiga orang anak yang masih kecil.

Ketika si suami masih cuba memahami dan mengendalikan trauma yang menimpa mereka sekeluarga, terpaksa pula beliau merekodkan video penjelasan bagi membersihkan nama baik si isteri yang telah dirampas dengan sebegitu biadap oleh wartawan yang tiada sekelumit kasihan. Semua dilakukan bukan hanya kerana kehormatan diri sebagai seorang suami diinjak, dan ada aib serta maruah si isteri yang harus dibela, tetapi juga bagi memelihara halusnya jiwa anak-anak kecil yang kini terpaksa melalui panjangnya perjalanan hidup tanpa seorang ibu.

Apakah masyarakat kita sudah cacat otak? Sehingga kita tergamak menggunakan tragedi yang menimpa keluarga-keluarga ini sebagai bahan sensasi untuk dicelotehkan tanpa batasan. Daripada tajuk berita yang sensasi, kemudian dibawa umpatan mulut ke mulut, jari ke jari. Hinggakan si mati yang tiada pernah kita kenal diheret sebagai perempuan yang menjadi punca pembunuhan mereka sendiri.

Saya terfikir bertapa mudahnya menjadi lelaki di Malaysia ini. Waima sebagai pembunuh, yang dikecam, dicela, dikeji dan dicaci bukanlah mereka sebaliknya  mangsa-mangsa mereka yang dihina. Tidak dikira mangsa sebagai wanita yang jauh lebih lemah fizikal mereka, atau kudrat dan daya tahan mereka. Tidak difikir amanah kaum lelaki memelihara nyawa wanita. Semuanya orang lelaki boleh lepas tangan.

Yang dikecam netizen tetap wanita yang kononnya menyondol suami orang. Mungkin di mata masyarakat Malaysia, dosa yang lebih zalim adalah menyondol dan bukannya membunuh. Kerana itulah, semua berita kehilangan wanita disensasikan dengan hubungan si mangsa dan pembunuhnya sendiri.

Kebelakangan ini sudah tidak lagi selamat wanita di Malaysia. Semasa hidup pun wanita disamun, dirompak bahkan ditikam waima ketika berada di surau. Bila sudah mati pula digambarkan sebagai perempuan yang berskandal sehingga netizen bebal ada yang tanpa belas ehsan mahupun adab sopan menyatakan dengan angkuh tentang kewajaran mereka mati dibunuh. Kalau ini bukan rosak otak, apa nama trend ini?

Mana pergi presiden persatuan media itu dan ini yang lantang bersuara saat wartawan disekat hak melaporkan isu? Adakah mereka turut sama galak memberikan pendidikan kepada ahli bidang mereka untuk lebih berertika? Sebagai wartawan yang mempunyai akses pertama dan terus dalam berita-berita yang perlu disebarkan kepada rakyat Malaysia, wartawan mempunyai tanggungjawab besar untuk menjaga etika dan berfikir panjang tentang kesan penulisan mereka.

Ajarkan mereka perkara asas tentang etika kerana amanah besar ini tidak hanya langsai saat berita dicetak di dada akhbar atau saat dimuat naik ke laman berita, tetapi jauh melangkaui zaman dan masa kerana akhirnya berita yang mereka rencanakan menjadi perakam kepada sejarah peradaban manusia di bumi ini. Mampukah wartawan Malaysia bersua dengan generasi masa depan dengan onar yang menolak adab susila?


PENULIS ialah pengamal undang-undang.


Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)