Mengharapkan Komitmen Baru untuk Jaga Warga Emas (Utusan Malaysia 5 Jan 2024)
‘Keadilan menimbulkan belas-kasihan dan belas kasihan menimbulkan kebajikan dan pengorbanan.’ – Buya Hamka.
Menjelang tahun baru 2024, timbul pelbagai impian dan hasrat yang perlu direalisasikan. Bagi saya, antara yang mustahak dan mendesak sudah tentulah melihat kerangka perundangan dan dasar yang lebih menyeluruh dalam perihal penjagaan kebajikan golongan rentan di dalam negara ini, khususnya warga emas.
Sejak 2019 lagi sudah timbul desas-desus niat kerajaan untuk menggubal suatu akta induk bagi pemeliharaan warga emas dengan tujuan utama melindungi kebajikan warga emas, melindungi hak asasi warga emas, serta mewujudkan sistem sokongan yang kukuh kepada warga emas dan penjaga. Sehingga kini, sudah hampir lima tahun rakyat menunggu, tampuk kepimpinan negara pun sudah bersilih-ganti tetapi komitmen untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas masih kelihatan samar.
Meskipun Dasar Warga Tua Kebangsaan telah diperkenalkan pada tahun 1995 manakala Pelan Tindakan Dasar Warga Tua Negara dan Dasar Kesihatan Warga Emas Negara telah diperkenalkan pada tahun 1998, namun wujud kelompongan besar apabila masih ada warga emas yang dibiarkan hidup terabai. Lebih buruk lagi, ada di kalangan ahli keluarga dan waris yang sanggup meninggalkan warga emas seorang diri tanpa bantuan atau jagaan meskipun mereka sudah tidak mampu untuk menjaga diri mereka.
Antara insiden menyayat hati dilaporkan dalam tahun lalu melibatkan sepasang suami isteri yang direman pada Jun 2023 selepas disyaki mendera ibu warga emas sehingga meninggal dunia. Beberapa bulan kemudian, seorang lagi warga emas ditemui didera warisnya akibat perebutan wang pencen. Lebih menyayat hati lagi apabila tular berita penemuan seorang lelaki warga emas ditinggalkan di atas tilam penuh najis di Wakaf Che Yeh. Beliau kini menjadi sebahagian statistik yang dilaporkan membabitkan 2,144 orang warga emas yang diabai dan ditinggalkan di hospital sepanjang tempoh lima tahun dari 2018 hingga Jun 2022.
Mana pergi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)? Mana pergi program Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR) yang menjanjikan sokongan buat warga emas? Sampaikan sebegitu hina sekali hidup sebagai seorang warga emas di bumi Malaysia. Sudah hilangkah rasa perikemanusiaan masyarakat sehinggakan ada yang tergamak mendera dan membunuh warga emas yang sudah tidak berkeupayaan membela diri mereka?
Di Amerika, sejak 1965 lagi suatu akta khusus berjudul Akta Warga Tua telah digubal bagi memenuhi keperluan perkhidmatan sosial untuk warga emas. Pada tahun 1988, Jepun pula telah menggubal Deklarasi Hak Asasi Orang Tua yang menggariskan prinsip utama bagi memastikan kesejahteraan warga emas termasuklah jaminan penjagaan kesihatan, penjagaan jangka panjang, pendapatan, dan pembelajaran. Manakala di Eropah, Piagam Hak Asasi Kesatuan Eropah, yang digarap pada tahun 2000 dan berkuatkuasa sejak 2009, memperuntukkan di bawah Artikel 25 pengiktirafan dan penghormatan terhadap hak warga emas untuk menjalani kehidupan bermaruah dan berdikari serta hak untuk mengambil bahagian dalam kehidupan bersosial dan budaya.
Peralihan semasa yang menunjukkan perubahan pemikiran mengenai penjagaan warga emas berpunca daripada trend global di mana warga emas dianggarkan akan mewakili 22 peratus populasi dunia menjelang 2050. Bahkan, mengikut kajian Jabatan Perangkaan, Malaysia dijangka mencapai status negara menua menjelang tahun 2030 apabila 15.3 peratus daripada keseluruhan populasi penduduk berusia 60 tahun dan ke atas.
Maka keperluan untuk memperuntukkan sistem sokongan yang lebih sempurna bagi manfaat dan kesejahteraan warga emas adalah kian mendesak. Sedangkan di negara yang berpasakkan nilai ketimuran dan kekeluarga seperti di Malaysia, warga emas yang sudah tua dibiarkan hidup melarat. Antara faktor utama warga emas terabai di dalam negara ini adalah ketiadaan waris yang mampu memelihara warga emas. Malang sekali apabila masyarakat pasca-moden yang semakin terhakis daripada nila-nilai tradisional tidak lagi mempunyai kekangan dalam bentuk budaya dan nilai sosial yang jelas.
Maka sudah tiba masa yang suntuk untuk kerajaan mengadakan kawalan sosial yang lebih ketara, termasuklah dalam bentuk undang-undang, peraturan dan dasar agar nilai sosial yang memelihara sesebuah institusi kekeluargaan dapat diperkemaskan lagi. Kebimbangan utama para aktivis dan pekerja sosial yang bekerja rapat dengan golongan warga emas adalah juga keadaan warga emas yang tiada waris. Ini setelah mengambil kira kadar kelahiran kasar di seluruh dunia yang menunjukkan trend penurunan saban tahun.
Dikhuatiri akan tiba masa di mana perihal penjagaan warga emas akan dimonopoli oleh pihak ketiga yang tidak mempunyai pertalian persaudaraan dengan warga emas, termasuklah agensi kerajaan akibat daripada ketiadaan waris yang mampu membela warga emas. Sudah tentu situasi ini memerlukan kerangka dasar yang menyeluruh agar warga emas sebagai golongan rentan tidak terus dipinggirkan.
Jun tahun lalu, dikhabarkan kononnya RUU Warga Emas akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama di parlimen pada tahun 2024 yang akan bersidang pada pertengahan Februari nanti. Maka, kini saya menuntut janji kerajaan.
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).
*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Jan 5, 2024 dengan pindaan Editor sebagai 'Tuntut janji kerajaan bela warga emas'.
Comments
Post a Comment