Gula-Gula untuk Urang Sabah (Utusan Malaysia 14 Oktober 2022)

ABU HURAIRAH meriwayatkan Rasulullah bersabda, “Sesiapa yang memerintah sepuluh orang akan dibawa pada hari kiamat dengan belenggu sehingga keadilan melepaskan belenggunya atau kezaliman membawanya kepada kebinasaan.” - Mishkat al-Masabih 3697



Dalam keadaan politik negara yang semakin tidak menentu, suka saya mengingatkan pemimpin politik negara untuk menghayati amanah berat di pundak masing-masing yang mampu menyeret mereka ke arah kebinasaan. Politik bukanlah  permainan yang boleh diperkotak-katikkan tanpa memikirkan masa depan negara dan rakyat khususnya apabila dunia telah menyajikan teladan tentang kegagalan pemimpin terdahulu yang mampu menjahanamkan keseluruhan sejarah dan peradaban sesebuah negara. 

Ambillah teladan dalam krisis ekonomi dan politik yang melanda Sri Lanka serta lihat bagaimana rakyat negara itu bangkit menentang kebejatan Presiden Gotabaya Rajapaksa yang dilihat gagal memulihkan kemelesetan ekonomi negara. Kebangkitan amarah rakyat bukanlah sesuatu yang senang diperolokkan terutama dalam dunia maya tanpa sempadan di mana maklumat dan berita mudah dimanipulasi dan disebarkan. 

Dalam tempoh selepas pembubaran parlimen, sudah tentu yang dinantikan adalah janji-janji manis yang akan dihambur keluar daripada bibir hitam politikus keparat negara yang tidak pernah segan dengan mungkir janji mereka terdahulu. Antara janji yang mula ditabur ialah komitmen Kementerian Dalam Negeri (KDN) kononnya akan menyelesaikan isu sejuta orang penduduk tanpa dokumen di Sabah.

Saya dan 17 orang aktivis lain baru selesai menyempurnakan siri ketiga program #TagupiMembaca di Lahad Datu, Sabah. Program dijalankan di sebuah kampung yang mana penduduknya rata-rata merupakan generasi ketiga dan keempat lahir di bumi Sabah. Malah kebanyakan mereka mempunyai datuk, nenek, ayah atau ibu yang memiliki Kad Pengenalan yang sah dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Malangnya, kebanyakan mereka masih dinafikan hak untuk memiliki dokumen pengenalan diri rasmi. 

Ada antara mereka yang mengadu bagaimana sudah bertahun-tahun mereka turun naik tangga mewah pejabat JPN namun impian diiktiraf sebagai warganegara masih tidak kelihatan waima samar-samar. Ada yang mengadu bagaimana pelbagai agensi kerajaan menyulitkan proses mendapatkan dokumen pengenalan diri meskipun permohonan demi permohonan sudah dilengkapkan, temuduga demi temuduga sudah dihadiri. 

Setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU) diumumkan menjelang tempoh berkempen, setiap politikus dengan menakjubkan akan menjelma di kampung-kampung terpencil di ceruk pedalaman Sabah langsung menjanjikan bulan, bintang dan sekeping MyKad biru. Tanpa semangat politik yang kuat, laungan ke dalam pembesar suara dipekik jelas untuk menggula-gulakan rakyat yang dahagakan pengiktirafan. Dokumen pengenalan diri dan status warganegara dijaja bagai tiada nilai. 

Evolusi ‘gula-gula’ bertukar silih berganti daripada zaman IMM13 (pada tahun 1972 hingga 1984 untuk pelarian perang Filipina yang tinggal dan bekerja di Sabah) kepada Kad Burung-Burung (pada tahun 1986 hingga 1988) kepada Sijil Banci (sejak tahun 1976) kepada Pas Sementara Sabah (diwar-warkan sejak tahun 2019).  Ini belum ditambah rencah dengan ‘Projek IC’ yang telahpun diselidik dan Suruhanjaya Siasatan Diraja telahpun siap pada tahun 2014. Namun, dapatan RCI mengatakan kononnya tiada pemberian dokumen pengenalan diri rasmi secara tidak sah di Sabah. 

Hasilnya tetap sama. Mereka yang tiada kebergantungan kepada bumi Sabah diiktiraf secara senyap dan mereka yang menggendong jati diri bangsa Malaysia dianaktirikan. Biarpun Negaraku dan Sabah Tanah Airku terpahat di dada dan di jiwa, namun dek kerana politik berlandaskan etnik, warna kulit dan rambut maka hak untuk diiktiraf terus dinafikan. 

Dalam Perbahasan di Dewan Rakyat pada 18 Mac 2019, ahli parlimen dari Sandakan menganggarkan terdapat 200,000 orang kanak-kanak tanpa dokumen di Sabah. Kanak-kanak ini bukan sekadar dinafikan pengiktirafan sebagai warganegara, malah mereka tidak dibekalkan dengan dokumen pengenalan diri rasmi yang langsung menyatakan dengan terang bahawa mereka hidup sebagai persona non grata yang tidak akan diiktiraf oleh mana-mana negara. Apabila mereka cukup matang untuk ke sekolah, 200,000 orang kanak-kanak ini akan dinafikan pula hak pendidikan asas. 

Maka hiduplah mereka hanya untuk menunggu ajal menjemput dalam pada hak dan perlindungan asas mereka terus dinafikan. Sebagai negara yang tidak meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Status Orang Tidak Bernegara 1954 mahupun Konvensyen Pengurangan Orang Tidak Bernegara 1961, Malaysia masih tiada sebarang komitmen jelas bagaimana menangani kewujudan sejuta orang penduduk tanpa dokumen di Sabah. 

Yang ada hanyalah gula-gula kelat yang ditaburkan dalam kempen PRU dan seperti angin Laut Sulawesi yang bertiup kencang, akan segera dilupakan saat musim PRU berlalu. Lebih 150 orang kanak-kanak yang mendaftar di sekolah alternatif yang kami kunjungi dua minggu lalu masih mendambakan pembelaan hak asasi mereka. Mereka tidak kenal dengan muka politikus-politikus yang segan turun ke lapangan. Mereka tidak ada nilai politik kerana tiada kuasa mengundi. Mereka hanyalah 150 nyawa yang disia-siakan sedangkan kekuatan 150 orang ini mampu mengubah hala tuju negara. 

Berapa lama lagi politikus harus bermain permainan politik kotor yang menyeret diri, rakyat dan negara ke kancah kebinasaan? Kami aktivis di lapangan mendamba bantuan menguruskan hak mereka yang sanggup bertumpahan darah membela jati diri bangsa Malaysia dalam diri mereka. Kami menuntut janji dikotakan dan amanah dipenuhi.  


PENULIS ialah pengamal undang-undang serta merupakan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.


*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Okt 12, 2022 dengan pindaan Editor sebagai 'Gula-gula’ kelat untuk urang Sabah'.

Comments

Popular posts from this blog

Pengkhianat Negara Makin Ramai (Utusan Malaysia 28 Ogos 2020)

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)