Penceraian yang menjaga kehormatan (Utusan Malaysia 11 Julai 2022)
“SIAPA yang menabur kebajikan, dapat menuai kehormatan.” - Leonardo da Vinci.
Sering
kali apabilia berlaku penceraian, kes akan menjadi rumit dengan emosi dan ego
kedua-dua belah pihak menjadi pemandu utama penentu hala tuju perpisahan itu.
Kisah silam yang panjang diungkit dan diadu domba untuk tontonan masyarakat
sekeliling bagi meraih simpati dan sokongan. Tiada pihak yang ingin mengaku
perkahwinan yang didirikan untuk kekal selama-lamanya sehingga hujung nyawa dan
sampai jasad menjadi debu, terkandas di tengah jalan atas kesalahan diri
sendiri.
Kerap
berkumandang saban hari di mahkamah keluarga yang mendengari permohonan
penceraian, banyak pasangan-pasangan memberikan pelbagai jenis alasan untuk
menidakkan kesalahan dan kealpaan diri mereka sendiri sehingga penceraian
menjadi jalan pengakhir perkahwinan mereka. Tiada siapa yang mahu mengaku
bahawa kesilapan mereka memberikan kesan yang sangat besar kepada kehidupan
peribadi dan keluarga. Lantas pelbagai jenis kesalahan pasangan yang diungkit
sebagai menutup kekurangan diri masing-masing.
Atas alasan ini, media
massa terutama yang berbentuk tabloid sering memilih untuk membuat liputan bagi
kes-kes penceraian di kalangan orang ternama dalam negara, baik ahli politik,
pelakon, penyanyi bahkan ahli perniagaan yang tersohor. Cerita yang kecil akan
dibesar-besarkan untuk menimbulkan sensasi kepada berita yang disajikan. Kisah
peribadi yang paling sulit dan memerlukan perlindungan privasi dijadikan bahan
bacaan yang disajikan untuk khalayak ramai.
Hal ini makin menjadi-jadi
dengan adanya media sosial yang percuma dimanipulasi pasangan yang melalui
proses penceraian. Mereka tidak segan untuk menjadikan kisah penceraian dan hal
dalam kelambu sebagai bahan untuk meraih ganjaran maya. Lagi jelik pandangan
orang ramai terhadap pasangan mereka, lebih tinggi ganjaran maya yang
diperolehi.
Kisah yang patut
dikemukakan dengan jelas di hadapan hakim mahkamah kini diterangkan kepada
pengikut di media sosial yang akan menghakimi baik buruk tindakan pasangan itu.
Tangkap layar, rekod panggilan telefon dan segala macam gambar peribadi dimuat
naik kepada pengikut dan dihujahkan agar lebih ramai pengikut yang memihak
kepada diri mereka sambil mengecam pasangan yang mereka sedang dalam proses
untuk ceraikan. Hilang sudah rasa malu dalam masyarakat kita.
Selepas penceraian berjaya
dimuktamadkan sama ada dalam bentuk lafaz talak atau perintah fasakh atau dikri
nisi mutlak yang dikeluarkan mahkamah, kes penceraian tidak habis di situ. Bagi
meneruskan nikmat mengadu domba di media sosial, dibawakan juga kes tuntutan
hak penjagaan anak-anak, tuntutan harta sepencarian, hak mu’tah atau pemberian
sagu hati kepada pasangan perempuan, dan sudah tentu juga tuntutan nafkah.
Jika terasa aib
masing-masing belum terlondeh, ditambah perencah dengan kisah kekasaran dalam
rumah tangga, tuduhan kekerasan jenayah dan penderaan. Media sosial pun melahap
kisah penceraian pasangan tersohor dalam satu lagi pusingan. Masing-masing giat
memberikan sokongan ataupun kecaman sambil merasa diri mereka sempurna atau
maksum dan tidak tercela dengan dosa-dosa peribadi mereka. Yang perlu diberatkan
hanya dosa dan aib orang lain. Lebih malang lagi apabila ramai juga yang
menokok-tambah. Nyala api dibakar sehingga bersemarak.
Tiada langsung yang segan
dengan anak-anak generasi masa depan yang melihat sikap bobrok yang jelik ini.
Bahkan, anak-anak juga dijadikan modal untuk meraih ganjaran maya. Gambar
anak-anak ditampal serata media sosial untuk menunjukkan betapa hebatnya
pengorbanan yang mereka lakukan demi anak-anak dalam pada mereka mengecam ibu
atau bapa anak-anak itu.
Mereka seakan lupa, apa
yang dimuat naik ke dunia maya kekal untuk tempoh yang melangkaui jangka hayat
mereka. Muka tulus anak-anak yang dahagakan kasih sayang ibu bapa mereka
dijadikan bahan tontonan berterusan. Jikapun ada jalan penyelesaian mudah yang
boleh dipilih untuk menjaga maruah anak-anak ini, lebih gemar pasangan yang
sudah bercerai memilih alternatif yang jauh lebih sukar. Semata-mata kerana ego
mereka lebih tinggi nilainya daripada keperluan anak-anak.
Jarang sekali kita
mendengar pasangan yang melalui proses penceraian melakukannya dengan rasa
hormat terhadap diri sendiri, pasangan, ahli keluarga, sistem kehakiman ataupun
masyarakat sekeliling. Seakan sukar untuk mereka yang pernah tidur sebantal
melihat bekas pasangan masing-masing sepertimana pandangan yang mereka berikan
pada hari perkahwinan dimeterai.
Jikapun tiada lagi rasa
hormat pada aib diri sendiri dan keluarga, suka diingatkan bahawa dalam kes
penceraian yang masih belum dimuktamadkan di mahkamah, peraturan berkenaan
dengan subjudis seharusnya dihormati. Jika tidak takut dengan maruah yang
tercalar, sepatutnya pasangan ini lebih segan dengan pandangan mahkamah yang
mengadili kes penceraian dan tuntutan-tuntutan mereka. Berhentilah menabur aib sendiri
di media sosial dan bawakanlah keterangan saksi dan bahan bukti secara bijak di
mahkamah ini.
Penceraian bukan tiket
untuk memalukan diri sendiri dan pasangan.
PENULIS
ialah pengamal undang-undang serta merupakan Ketua Biro Undang-undang dan Hak
Asasi WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.
*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Jul 11, 2022 dengan pindaan Editor sebagai 'Cerai: Henti tabur aib sendiri'.
Comments
Post a Comment