Aku Sepasang Kasut Guru Tua (Tunas Cipta 18 Mei 2021)
BAHANG jalan tanah merah yang dipijak meruap naik dan meresap ke seluruh tubuhku. Batu-batu kerikil ada yang sesat dan melekat dalam alur pada tapakku. Debu-debu tanah merah yang naik setiap kali tapakku memijak, langsung melekap rapat dan menyelimuti keseluruhan tubuh hitamku.
Daripada warna hitam berkilat yang aku banggakan, kini tubuhku sudah kelihatan begitu hodoh dek tompokan debu yang tidak segan mendampingiku. Melihatkan keadaan aku, tentu jelas kudratku sudah seperti lurah tidak terturuni, bukit tidak terdaki. Tambah pula tapakku semakin tebal berkerak dengan tanah merah yang terlekat. Rupa parasku sudah terlalu tua untuk meneruskan khidmat.
Terasa amat menyesakkan sekali perjalanan ini. Namun inilah tanggungjawabku saban hari; menemani perjalanan guru tua ini sehari-harian. Sudah masuk tahun kelima aku dikhadamkan guru tua ini. Untuk tempoh usiaku, aku sejujurnya sudah amat tua untuk tugas berat ini. Seperti tuanya guru tua yang menghambakan aku. Nan berat tidak terpikul, nan ringan tidak terjinjing dek tubuhku ini.
Aku selalu mengimpikan kehidupan yang lebih banyak rehat-rehat, tapi sayang sekali aku dipunyai oleh seorang guru tua yang tidak endah dia dengan keuzuranku. Setiap pagi, dia akan duduk di bangku rotan yang sudah nazak itu. Dari atas bangku itu, tangan tuanya akan mencapai sepasang stokin yang asalnya berwarna hitam tetapi sekarang ini, seperti juga aku, stokin hitam itu sudah tua leler dan pudar menjadi kelabu.
Tangan guru tua itu akan menyarung stokin yang sudah kelabu dan nipis ke kedua kakinya sebelum disorong pula tangan itu untuk mengangkat tubuhku daripada para yang paling atas rak kasut. Jika tuan aku bukan seorang guru, sudah tentu aku dapat berehat sekali-sekala. Sudah tentu mahu dia menyarung selipar yang ada di sebelahku atas para itu. Bukankah dia akan lebih selesa? Selipar itu baru tiga tahun berada dengan tuan aku. Sudah tentu tapaknya masih belum haus dan pijaknya masih empuk.
Jika dibandingkan dengan keadaan tubuhku yang sudah semakin ganyut, sudah tentu si selipar itu lebih patut patuh berkhidmat menemani tugas berat tuan kami. Tapi itulah. Guru tua itu punya etika yang memaksa dia menyarung tubuh tuaku saban hari bagi menutupi tapak kaki tuanya. Tidak aku faham mengapa seorang guru harus memakai kasut hitam. Undang-undang dunia ini yang pelik-pelik belaka.
Kejap aku di kakinya, guru tua itu akan bangun dan disalami isteri tuanya yang selalu menemani di pintu rumah. Kadang-kadang dititipkan pesan yang itu ini kepada isteri tuanya itu. Tapi kebelakangan ini, si isteri tua selalu sakit terlantar di dalam rumah. Tiada siapa yang akan jadi teman guru tua memulakan langkah pertama kepada perjalanan yang memakan masa sejam berjalan itu.
“Aduh!” teriak guru tua kuat saat muncungku tersandung batu keras yang terbenam kemas dalam jalan tanah merah.
Rintih si guru tua langsung mematikan permainan benakku. Dia mengadu sakit tapi yang cedera aku. Calar nan dalam menekan ke muncungku buat menemani calar-balar lain-lain yang sudah sedia ada penuh di seluruh permukaan tubuhku. Aku kira congak, masih ada 20 minit sebelum kami tiba ke rumah tua si guru tua. Terasa jauh sekali perjalanan hari ini dengan matahari yang masih tidak mahu melembutkan sirna.
Aku amat berharap pulang di rumah nanti guru tua akan memberi aku sedikit ihsan. Kebiasaannya, bila ada masa di hujung minggu selepas menguruskan semua benda wajib dalam hidupnya, guru tua itu akan duduk di bangku nazak. Dengan remang senja yang menemani mata tuanya, akan dicelupnya kain buruk yang maha buruk ke dalam secawan air panas. Dengan kain maha buruk itu, guru tua akan lap tubuhku bagi membersihkan rupaku. Walaupun tidaklah merubah rupaku menjadi muda, tapi setidaknya terasa segar juga saat debu-debu di tubuhku larut dan hilang.
Sudah hampir dua bulan guru tua tidak membersihkan rupaku. Sudah tentu tampang aku buruk bagai rupa tungkahan. Selalu aku timbul segan untuk diperagakan kepada khalayak ramai. Lebih-lebih lagi apabila aku disusunkan oleh pelajar-pelajar guru tua saat dia masuk ke surau. Tentu saja teman-teman di sebelah kiri dan kanan lebih molek rupa mereka.
Tidak semena-mena si guru tua mencangkung di tengah-tengah jalan tanah merah yang masih berbaki banyak dalam perjalanan pulang ke rumahnya. Beg galas ditarik dan daripada isi beg, dikeluarkannya sebotol air masak buat membasahkan tekak. Aku dicabutkan daripada kakinya. Entah bila aku pun tidak perasan, ada batu kerikil yang tersesat masuk ke dalam badanku. Aduhai! Kesian sekali si guru tua! Tentu kakinya sudah sakit tercucuk dihimpit batu kerikil yang durjana itu!
Tidak lama si guru tua bangun semula meneruskan langkah kakinya yang perlahan ke rumah yang semakin kecil jaraknya. Sirna matahari petang sedikit demi sedikit mula melembut mendamaikan alam yang bersedia untuk menjemput malam. Rumah yang dituju pun mula menghampiri sedikit demi sedikit.
Di atas anak tangga, si isteri tua sudah kemas duduk menunggu dalam kain batik lusuh yang sepadan dengan baju kurung kedah rona biru. Senyumnya lelah terbit teroles di bibirnya saat aku dan si guru tua merapati dia yang menunggu. Di sisi duduknya, si isteri tua ditemani secangkir kopi yang masih mengeluarkan aroma harum semerbak.
Si isteri tua menyapa guru tua dengan ramah. Mungkin sakit peningnya sudah beransur baik. Dengan ramah juga dia bertanya perihal seharian si guru tua di sekolah. Dengan nada sedikit sesal, si isteri tua mengkhabarkan masakan makan malam hanya berbekalkan ubi rebus dan ikan bakar semalam yang dipanaskan semula. Si guru tua dengan gembira mengatakan itulah kegemarannya.
Aku dilucutkan daripada kaki tuanya dan dikembalikan di atas para rak kasut yang paling atas. Suara borak mereka menjadi semakin perlahan saat mereka beriringan masuk ke rumah. Sementara aku pula mengambil peluang untuk berehat secukup-cukupnya. Aku sudah maklum, rehatku amat diperlukan kerana esok pagi, si guru tua akan kembali duduk di bangku uzur, mencapai stokin leler sebelum menyarung pula aku yang sudah ganyut ini.
Aku pasrah dengan takdirku yang dimuliakan sebagai sepasang kasut si guru tua.
*Disiarkan dalam Tunas Cipta pada Mei 18, 2021.
Comments
Post a Comment