Politikus gatal (Utusan Malaysia 9 April 2021)

‘BAHASA politik - variasi ini berlaku untuk semua parti politik, baik konservatif mahupun anarkis - dirancang untuk membuat pembohongan dilihat benar dan pembunuhan dilihat terhormat...’ – George Orwell



Kritikan sosial penulis Amerika, George Orwell, sentiasa tajam dan pedas. Tujuannya hanyalah satu – untuk mengingatkan masyarakat tentang bahaya kawalan halus yang banyak berlaku dalam kehidupan seharian tanpa kita sedari. Daripada sekecil-kecil hal melibatkan pergerakan wang ringgit untuk membeli sepinggan nasi sehinggalah sebesar-besar hal melibatkan dasar dan peraturan negara, kawalan halus yang menjadi mainan runcit ahli politik bukanlah sesuatu yang boleh dianggap enteng.

Malah tiada pengaruh yang lebih besar dalam pembentukan (atau kemusnahan) sesebuah negara bangsa selain daripada campur tangan politikus. Jika negara itu bernasib malang dan diwakili oleh ahli-ahli politikus yang rakus, dengan mudah mereka mampu menyebarkan pembohongan hanya dengan memanipulasi media yang menjadi alat sebaran idea bobrok mereka. Maka tidak janggal mendengar bagaimana ahli politik sering berpolemik dan berbalah secara terbuka di media massa tetapi di belakang tabir saling berpelukan erat. Dalam pada politikus berjabat mesra, yang berantakan tentulah sesama rakyat yang fanatik kepada mereka.

Manipulasi politikus keparat harus dikenalpasti supaya masyakat lebih maklum tentang pembohongan yang sedang berleluasa. Imej mulia dan prihatin terhadap kegetiran masyarakat adalah topeng politik yang harus dibogelkan segera. Ini lebih-lebih lagi apabila sudah terlalu ramai politikus yang mencemar maruah dengan melakukan jenayah terhadap kehormatan ahli masyarakat. 

Masyarakat harus sudah mampu bangun dan celik mata untuk melihat sendiri lendir-lendir hitam yang menyaluti imej murni ramai ahli politik negara. Jangan sampai ada yang diperalatkan untuk membela politikus sedang pada mereka tidak pernah peduli tentang kepentingan masyarakat. Waima dengan taruhan wang ringgit yang digula-gulakan kepada rakyat sekalipun, ketahuilah sebenarnya nilai mana-mana politikus hanyalah nihil; habis tempoh penggal, habislah mandat mereka untuk hidup di kayangan. 

Dunia sudah semakin moden dan maklumat sudah semakin mudah tersebar luas. Amat jelik dan pelik jika masyarakat masih membontoti politikus kepinding. Semakin buruk lagi ketika kes rogol ahli politik dibicarakan dengan terbuka di kamar perbicaraan mahkamah, rakyat yang masih buta tidak segan dan malu pula untuk menunggu di luar mahkamah melaungkan slogan murahan kononnya ahli politik dokongan mereka masih mulia. 

Berdasarkan sikap penyokong mereka inilah, lebih ramai ahli politik yang tidak sedikit pun gusar - apatah lagi segan - untuk mencemar amanah yang diletakkan di atas pundak mereka oleh ahli masyarakat. Hasilnya, saban tahun kita akan mendengar laporan dan desas-desus tentang ahli politik yang terpalit dengan skandal seksual. Ada yang tidak malu bermain asmaradana dengan isteri atau suami orang. Ada pula yang melakukan gangguan seksual. Ada yang menyentuh dan meraba perempuan seperti alat mainan mereka. Bahkan ada yang sehingga merogol mangsa. 

Bertahun-tahun aktivis wanita dalam negara terpekik-terlolong tentang trauma gangguan seksual kepada mangsa. Aktivis juga berteriak terus tentang bahana gangguan seksual kepada masyarakat secara am. Sayangnya, setiap kali berlaku, ada saja penyokong yang bersungguh-sungguh membela nasib politikus gatal ini. Jika ada pertuduhan yang dihadapkan di mahkamah, belumpun sempat mahkamah bersidang, ‘hakim-hakim’ di jalanan sudahpun memutuskan untuk membebaskan politikus gatal daripada kesemua pertuduhan. 

Sudah tentu mantra yang kerap diulang-ulang adalah kononnya politikus gatal yang mereka sokong adalah yang paling murni dan tidak bersalah walaupun sekelumit. Sungguhpun ada media yang berani melaporkan transkrip perbicaraan, disulami drama perundangan menggetirkan oleh saksi-saksi tidak berpihak dan tidak berkepentingan, namun dalam benak penyokong politikus gatal hanyalah ketaasuban. 

Amatlah sayang sekali apabila ahli masyarakat yang waras akal tidak mampu membuka mata dan minda untuk kenal buruk dan baik setiap hal. Justeru, terpaksalah penggubal undang-undang turun ke jalanan untuk menggarap pelbagai jenis akta untuk mengekang dan mengawal percaturan sosial masyarakat. Terkini, dengan kenaikan jumlah kes gangguan seksual, termasuklah oleh politikus gatal, haruslah badan eksekutif dipaksa masuk ke parlimen untuk mengadakan pula Akta Gangguan Seksual bagi memelihara masyarakat yang sudah sekian lama kucar-kacir ini. 

Sebaik mana pun sesuatu akta itu digubal, yang paling utama tentulah peringatan kepada setiap ahli masyarakat untuk sama-sama peka dan peduli tentang hak dan tanggungjawab yang dipikul oleh setiap daripada kita. Jika peruntukan sudah digubal cantik dalam kitab-kitab akta tetapi tiada masyarakat yang ingin mendukung perundangan itu, tiada manfaat walau sedikit. Celikkan mata melawan politikus gatal. 


PENULIS ialah pengamal undang-undang serta merupakan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada April 9, 2021 dengan pindaan editor sebagai 'Celikkan mata lawan politikus gatal'.


Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)