Janji Ahli Politikus (Utusan Malaysia 1 Januari 2021)

BERINGATLAH semakin tinggi kedudukan seseorang insan, semakin jauh pandangannya dari bumi tempat kakinya pernah berpijak.” – Sultan Nazrin Muizzuddin Shah



Pada tahun 2019, Parlimen telah mendengar Pembacaan untuk 43 Rang Undang-Undang. Angka ini menjunam dalam tahun 2020, di mana hanya 25 Rang Undang-Undang sempat diperbahaskan. Memandangkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara bersidang sepanjang tahun dengan kekangan ketat mengikut ketetapan SOP menangani pandemik COVID-19, sudah tentu dianggap munasabah angka perbahasan pindaan dan penggubalan undang-undang dilihat berkurangan.

Contohnya apabila takwim persidangan Dewan Rakyat pada asalnya dijadualkan bermula 9 Mac hingga 16 April terpaksa ditangguhkan selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan. Bahkan pada 18 Mei, Parlimen hanya bersidang sehari, iaitu bagi urusan Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong tanpa membahaskan mana-mana usul.

Dalam masa yang sama, tidak dapat dilupakan pertukaran tampuk kepimpinan negara pada Februari 2020 yang menggencatkan lagi pergerakan cabang legislatif negara. Pertukaran ini bukan hanya membantutkan proses perbahasan di dalam dewan Parlimen, tetapi juga melambatkan pemakaian dasar yang telah dipersetujui kepimpinan yang lalu, di setiap aturan cabang eksekutif negara. Sudah tentu, secara warasnya, apabila bertukar nakhoda yang mengemudikan bahtera, sudah tentu bertukar juga halu tuju bahtera itu. 

Maka amatlah jelas kebenaran yang dititahkan baginda Sultan Perak bahawa sebarang pergolakan politik haruslah dilihat sebagai kegagalan kepemimpinan dalam kalangan ahli-ahli politik untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat. Setiap kali berlaku kepincangan politik, yang lelah menjadi mangsa adalah rakyat jelata yang nasibnya tidak terbela. 

Malangnya, desas-desus pertukaran kerajaan masih berlegar-legar menjadi buah mulut orang ramai. Desakan untuk menentukan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 juga masih terus dibincangkan dengan rancak sekali dalam kalangan politikus negara. Walhal sebetulnya rakyat sudah jelak dengan spekulasi sebegini. Perbualan ahli-ahli politikus yang giat mengatur strategi politik mereka tanpa mempedulikan kebimbangan rakyat seolah-olah memberi isyarat bahawa sesungguhnya mereka wujud dalam satu masyarakat yang berbeza; malah langsung terpinggir di kayangan jauh daripada realiti rakyat. 

Atas alasan itu, jika seorang ahli parlimen merangkap menteri ditimpa kecelakaan kerana jalan raya tidak diturap kemas, gegar gempita seluruh bumi Malaysia membincangkan insiden kemalangan kecil ini. Walhal nyawa rakyat yang banyak melayang atas sebab yang sama tidak pula mengegarkan hati pak-pak menteri yang mengandar tanggungjawab bagi memelihara keselamatan rakyat. 

Rakyat dijanjikan dengan kemakmuran yang dikongsi bersama, di mana kesejahteraan dan keselamatan rakyat kononnya dijadikan hala tuju utama negara. Namun sayang sekali apabila rakyat masih perlu menagih perhatian wakil-wakil rakyat yang dilantik untuk melihat sendiri keperluan, penderitaan dan harapan rakyat. Janji-janji dahulu untuk mendulukan beberapa rang undang-undang sudah mula luntur dan gersang. Terasa seperti proses legislatif hanya dilihat sebagai perkara yang remeh bagai hanya berkelahi di ekor alahan di pandangan mata ahli-ahli politikus kayangan ini.

Di mana janji kerajaan yang dulunya bersungguh-sungguh ingin menggubal akta-akta baru? Contohnya, janji kerajaan untuk mengadakan sebuah akta khusus untuk membasmi gangguan seksual? Dalam pada negara dilambakkan dengan kes-kes melibatkan gangguan seksual di setiap peringkat masyarakat, Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual masih belum direalisasikan. 

Begitu juga dengan RUU Tenaga Atom dan RUU Ombudsman yang juga kononnya diniatkan untuk perbahasan dalam tahun ini. Kedua-dua akta candangan ini masih tergendala tanpa pembelaan dalam pada ahli parlimen tetap punya banyak masa menjerit maki dan mengherdik sesama sendiri. Ahli politik sungguh gemar berlumba-lumba dengan strategi politik masing-masing dan janji-janji tentang penggubalan akta baru terkandas terus.

Semasa negara berterusan berperang melawan penularan wabak COVID-19 yang semakin mengganas dalam Malaysia, diharapkan ada kemakmuran bersama sinar 2021. Didoakan semua yang diniatkan untuk tahun 2020 yang masih terencat, dapat disempurnakan dengan lebih baik dalam tahun 2021. Yang tentu, harapan ini hanya akan dapat menjadi realiti jika kepimpinan negara di setiap peringkat sedar dengan amanah yang dijanjikan mereka. Sudahlah berbalah, Yang Berhormat sekalian. Mulalah bekerja. 


PENULIS ialah pengamal undang-undang serta merupakan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.


*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Januari 1, 2021 dengan pindaan Editor sebagai 'Sudahlah Berbalah, YB'. 

Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)