#DalamBerita: Penjawat awam rasuah wajar dihukum mati - Peguam

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran meminda undang-undang sedia ada bagi membolehkan hukuman mati dikenakan terhadap pelaku rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Pengamal undang-undang, Fatihah Jamhari berkata, hukuman tegas sedemikian adalah amat wajar memandangkan perbuatan mereka itu dianggap sebagai pengkhianat negara.



Menurutnya, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk memikul amanah berkhidmat kepada rakyat dan negara, sepatutnya mereka menegakkan kedaulatan undang-undang, bukannya memandang ringan.

“Rakyat lelah memikirkan gelaran yang wajar diberikan kepada pegawai-pegawai yang digajikan kerajaan, dengan hasil kutipan cukai daripada rakyat, tetapi mungkar kepada amanah dalam berkhidmat untuk masyarakat. 

“Jika dikatakan hukuman yang diperuntukkan undang-undang masa kini tidak mencukupi, maka disarankan Malaysia mengambil langkah lebih tegas mencontohi beberapa negara dengan meminda undang-undang mengenai rasuah agar pesalah boleh dihukum dengan hukuman mati,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi  Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq) berkata demikian menerusi kolum Cakna dalam Utusan Malaysia, hari ini.

Jelasnya, antara negara-negara yang melaksanakan hukuman mati ke atas pesalah rasuah ialah China, Korea Utara, Iran, Iraq, Indonesia, Thailand, Laos, Vietnam, Myanmar dan Maghribi.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, menteri-menteri sewajarnya memantau kakitangan di kementerian masing-masing jika dilihat ada yang menjalani kehidupan mewah yang tidak setimpal dengan gaji.

“Dalam pada menteri-menteri berterusan mengulang-ulang isu integriti bagaikan ratib harian mereka, pegawai kerajaan yang bekerja di jalanan dan lorong gelap di seluruh negara semakin nipis iman dan tipis amanah.

“Buat menteri-menteri kayangan ini, sudah-sudahlah berbenak di awangan sehingga kalian buta dengan realiti. Perhatikan anak-anak buah di kementerian masing-masing yang saban tahun mampu bersilih ganti kenderaan import serba mewah,” katanya.

(Ikuti tulisan Fatihah dalam kolum Cakna di muka surat 14)

*Disiarkan dalam Utusan Malaysia.

Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)