Fitnah aktivis hak asasi manusia (Utusan Malaysia 23 April 2019)

“BERAPA pun cepatnya kebohongan itu, namun kebenaran akan mengejarnya juga.” - Tan Malaka.



Walaupun mesyuarat untuk Semakan Berkala Sejagat (UPR) sudah tamat dan negara sudahpun memberikan maklum balas syor mana yang akan diberikan komitmen negara, namun sketsa drama masih bersambung.

Amat menyedihkan apabila landasan yang diwujudkan untuk menyemarakkan perjuangan meraih kebebasan dan hak asasi manusia (HAM) disalahgunakan untuk memfitnah negara.

Terbaharu apabila seorang aktivis HAM mendengking marahkan tindakan Polis DiRaja Malaysia memanggilnya untuk memberi keterangan dalam siasatan ke atas perucapannya di dalam mesyuarat Majlis Hak Asasi Manusia (HRC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva pada 14 Mac yang lalu. Antara perkara yang disiasat adalah fitnahnya ke atas Program Mukhayyam anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang diselar sebagai program kerajaan yang membiayai keganasan ke atas golongan LGBT.

Fitnah besar ini bukan saja memburukkan JAKIM tetapi keseluruhan negara Malaysia apabila dibentangkan dengan angkuh di mata dunia. Sedangkan kebenarannya, Program Mukhayyam adalah program yang menerima penyertaan golongan LGBT secara sukarela tanpa paksaan bagi mengetengahkan hak beragama golongan ini. Dengan menabur fitnah sebegini, dalang-dalang ini mengingkari fitrah asasi perjuangan HAM yang menitikberatkan kehormatan sesama manusia. Sebetulnya mereka telah merendah-rendahkan rasa hormat bagi golongan LGBT yang inginkan hak beragama mereka.

Dalam pada dalang-dalang ini memuji tindakan kerajaan memperhebatkan program anti-buli di sekolah, mereka pula yang dengan ironik membuli hak beragama golongan LGBT yang kononnya mereka dukungi. Adakah sudah tandus buah fikir sehingga isu yang tiada perlu diada-adakan melalui fitnah yang ditabur rawak?

Walhal, masih banyak lagi isu pelanggaran HAM yang wujud dalam negara ini perlu diperjuangkan.

Isu ini sama bangkit hangat dengan perkongsian seorang lagi aktivis hak wanita di media sosial yang menghina dan memfitnah sunnah Rasulullah. Dengan pongah sekali dia mencemuh ajaran Rasulullah dengan menggambarkan bahawa sunnah berkhalwat untuk beribadat adalah sesuatu yang menindas isteri-isteri beragama Islam. Sedangkan kegagalan sang suami untuk memastikan hak keluarga terpelihara apabila mereka menjalankan ibadat peribadi adalah kegagalan peribadi yang tidak perlu dikaitkan dengan mana-mana sunnah atau ajaran agama.

Begitu juga dengan penganjuran forum yang memanggil peserta untuk membincangkan hak untuk menggugurkan hijab yang selama ini memelihara maruah wanita Islam. Hujahan cangkat mereka kononnya forum perlu membincangkan hak setiap wanita untuk bebas memilih.

Ramai yang mengangkat sebarang kritikan terhadap ajaran agama Islam sebagai julangan perjuangan HAM yang memberikan ruang yang lebih besar untuk kebebasan. Tetapi kebenaran sebenar adalah jelas. Kebebasan untuk bersuara tidak membolehkan suara lantang digunakan untuk memfitnah dan membangkitkan ketidakharmonian.

Keupayaan mana-mana aktivis untuk sekadar menyalurkan cercaan tanpa kebenaran bukanlah buah fikir yang disandarkan kepada keberanian dan kemurnian perjuangan. Mereka bukan figura yang patut dijulang sebagai lantang. Sebaliknya hanyalah manusia picisan yang dikacak betis sudah bak betis, dikacak lengan sudah bak lengan. Adakah perlu untuk negara terusan dihina dengan penawaran idea dangkal mereka yang mengawur tanpa rasa hormat kepada tatasusila?

Sudah tiba masanya kerajaan menggunakan taring sedia ada di bawah Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan [Akta 574] bagi membolehkan mereka yang menabur tohmahan tidak benar dipenjarakan sehingga dua tahun atau didenda. Apa guna ada peruntukan undang-undang dan tidak digunakan sedangkan negara terus kecamuk dengan fitnah yang merosakkan?

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ dan Pengerusi program #TagupiMembaca.

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia pada April 23, 2019. 

Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)