Nasib Pak Pandir dalam Bajet 2019 (Utusan Malaysia 30 Oktober 2018)
“ADIL adalah menimbang yang sama berat, menyalahkan yang salah dan membenarkan yang benar, mengembalikan hak yang empunya dan jangan berlaku zalim di atasnya. Berani menegakkan keadilan, walaupun mengenai diri sendiri, adalah puncak segala keberanian.” - Buya HAMKA.
Seawal 2 minggu lalu lagi, Perdana Menteri Malaysia telahpun menyuarakan hasrat dan amanat beliau bagi memberikan isyarat nilai yang akan ditumpukan dalam Belanjawan 2019. Melihatkan ekonomi negara yang tidak stabil sejak Pilihan Raya Umum Ke-14, Tun Dr Mahathir Mohamad memohon rakyat negara ini, yang telah memberikan mandat kepada kerajaan untuk memerintah, agar turut sama merasakan tanggungjawab untuk berbelanja dengan lebih berhemah. ‘Bajet Korban’ yang akan dibentangkan menuntut agar rakyat Malaysia lebih berlapang dada dengan beberapa cukai baru yang akan dikenalkan dalam tahun 2019.
Pakar bidang masing-masing sudahpun mula bersuara untuk memastikan peruntukan yang sesuai diberikan untuk penceburan mereka. Ada yang sudah menuntut latihan kepada doktor pakar, ada yang meminta peruntukan lebih kepada pendidikan dan tidak kurang mereka yang menggesa agar subsidi diberikan lebih untuk bahan api.
Saban tahun rakyat Malaysia menantikan pengumuman belanjawan negara untuk tahun berikutnya, terutama bagi penjawat awam yang bergantung hidup berdasarkan jumlah peruntukan yang diagihkan untuk emolumen dan manfaat mereka. Sewajarnya, kerajaan sebagai majikan harus mempertimbangkan kebajikan penjawat awam dalam merangka belanjawan negara yang munasabah dari sudut fiskal tetapi lebih utama, supaya tidak menzalimi pekerja yang bertungkus-lumus membanting tenaga untuk perkembangan negara.
Kementerian Pendidikan baru-baru ini juga telah memberikan komitmen untuk memastikan kanak-kanak tidak bernegara juga diterima masuk belajar di sekolah kerajaan. Walaupun pengisytiharan ini sebetulnya bukanlah sesuatu yang baru kerana sebelum inipun sudah ada peruntukan untuk membenarkan kanak-kanak tidak bernegara untuk ke sekolah kerajaan. Namun dengan komitmen ini, nampak jelas kerajaan di bawah tampuk Pakatan Harapan sedang berusaha memastikan peningkatan khidmat pendidikan dalam negara.
Adakah ini juga memberikan isyarat bahawa belanjawan untuk sektor pendidikan akan dinaikkan lagi mejangkaui RM61.6 bilion yang telah diperuntukkan di bawah Bajet 2018? Dengan kemasukan kategori murid baru ke dalam sekolah arus perdana, sudah tentu akan melibatkan banyak penambahan lain termasuklah menaik tarafkan infrastruktur sekolah bagi menampung pelajar yang mendaftar di bawah kategori tidak bernegara.
Kerajaan masih belum memberikan indikasi yang munasabah untuk menunjukkan bagaimana Kerajaan akan memastikan kebajikan golongan rentan seperti orang kurang upaya (OKU) terpelihara terutama dalam hal penyediaan peluang pekerjaan yang adil. Retorik dan ulangan dasar sedia ada yang telah diumumkan sewajarnya diperkemaskan bagi memperjuangkan mereka yang lebih memerlukan. Peruntukan RM1.7 billion untuk OKU dalam Bajet 2018 seharusnya dilihat sebagai kayu ukur yang sesuai untuk memastikan lebih banyak lagi program dan dasar Kerajaan yang mesra OKU.
Namun yang sudah tentu dan pasti adalah setiap kali belanjawan negara dibentangkan, rakyat akan terasa seperti digula-gulakan sehingga ramai yang lupa realiti kehidupan. Kos sara hidup yang semakin tinggi tidak dapat ditampung dengan gaji purata yang masih culas untuk sama naik. Hakikatnya, perkembangan ekonomi yang terbantut dan mendatar hanya akan menyebabkan mereka dalam golongan rentan yang merasai lebih perit.
Penulis berharap dengan pertukaran tampuk pimpinan negara, falsafah negara juga akan bertukar untuk memastikan jurang besar di antara perkembangan sosial dan ekonomi golongan rentan dan golongan yang serba-serbi mampu dapat dirapatkan. Malaysia seharusnya mengembalikan hak sosial kepada mereka yang lebih memerlukan.
PENULIS adalah pengamal undang-undang dan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ, sebuah NGO gabungan dalam MACSA.
* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia pada Oktober 30, 2018 dengan pindaan Editor.
Comments
Post a Comment