Pembentukan blok ketiga sebagai pejuang (Utusan Malaysia 29 Mei 2018)
PILIHAN Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berakhir dengan kejutan demi kejutan. Bermula dengan desas-desus pelantikan ahli Kabinet, pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim, pembentukan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) dan Majlis Penasihat Kerajaan (COC), diikuti dengan penyiasatan skandal 1MDB serta penyitaan harta benda daripada beberapa ahli politik tanah air. Rakyat Malaysia sentiasa duduk dalam keadaan panas punggung menantikan kejutan seterusnya.
Dalam pada menanti kejutan berikutnya, rakyat terus kaget. Ramai yang masih tidak yakin dengan pembaharuan yang sedang berlaku dan menyuarakan kegusaran ini melalui petisyen dan desakan di portal atas talian serta media sosial. Ada berpendapat pembaharuan yang cuba dilakukan kerajaan terlalu dangkal. Sedangkan ada pula berpendapat pembaharuan yang dirancang adalah keterlaluan sehingga boleh kecamukan sistem.
Ketika rakyat menerawang berhadapan pembaharuan ini, pihak pemerhati daripada Barisan Nasional dan Gagasan Sejahtera masih berdiam diri tanpa memainkan fungsi sebagai pembangkang dan pengimbang dengan baik. Kegagalan mereka untuk bersuara menjadikan rakyat menjadi semakin gusar.
Memahami kegusaran ini dan bagi menyediakan landasan yang lebih teratur bagi rakyat menyuarakan pandangan, IRC telah menjemput rakyat untuk menghantar aduan berkenaan dengan sebarang isu tadbir urus yang lemah. Jemputan ini adalah langkah pertama yang baik dalam memahami masalah sistemik yang merundung negara. Landasan ini juga memastikan kerajaan memberikan perhatian bukan sahaja kepada perkara-perkara yang diketengahkan oleh sesetengah pihak yang mempunyai agenda tersendiri, tetapi kepada kesemua isu daripada pentafsiran menyeluruh setiap lapisan masyarakat.
Landasan ini juga menjawab kebimbangan banyak pihak yang khuatir dengan keputusan kerajaan mengangkat pihak-pihak dengan kecenderungan tertentu sebagai penasihat negara. Hal ini lebih-lebih lagi apabila melihatkan senarai penuh ahli IRC tidak mengangkat mereka yang mampu mengimbangi pandangan jawatankuasa tersebut dalam beberapa perkara khususnya yang melibatkan kepentingan agama Islam dan kaum Melayu.
Sepanjang tempoh tiga minggu kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih tampuk kepimpinan negara, saban hari rakyat disajikan dengan berita tuntutan demi tuntutan untuk memansuhkan institusi agama Islam dan menghapuskan dasar menyokong kaum Melayu. Selain mengetepikan peruntukan undang-undang sedia ada, tuntutan-tuntutan sebegini menghina Perlembagaan Persekutuan.
Bagi mengimbangi persaingan kepentingan yang wujud dengan rawak, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) yang mewakili pemegang berkepentingan (stakeholders) tertentu harus lebih lantang dalam memainkan peranan sebagai pengembang pengaruh sosial. Tatkala wujud ketirisan kepimpinan yang serius dalam menjaga kepentingan orang Islam dan Melayu di Malaysia, sudah tiba masanya CSO memainkan peranan dalam mengetengahkan isu-isu masyarakat Islam dan Melayu.
Tugas CSO tidak hanya terhad sebagai mereka yang melakukan kerja-kerja kemanusiaan tetapi lebih utama lagi dalam mempengaruhi dasar kerajaan bagi melindungi kepentingan yang mereka wakili. Untuk ini, pelbagai majlis perundingan yang telah ditubuhkan perlu memainkan peranan sebagai pemerhati bagi memastikan dasar dan tindak-tanduk kerajaan adalah tidak bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan, perundangan dan naratif kebangsaan.
Tugas badan-badan seperti Majlis Perundingan Melayu, Dewan Perniagaan Melayu dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu adalah untuk memastikan dasar kerajaan tidak mengetepikan kepentingan ekonomi dan sosial kaum Melayu. Begitu juga dengan tugas CSO gabungan seperti Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN) yang mentakzimkan peruntukan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan untuk memelihara dasar-dasar berkaitan martabat agama Islam di Malaysia.
CSO yang mengangkat diri mereka sebagai pejuang bangsa dan agama harus menjadi blok ketiga yang lantang dalam mengimbangi lambakan tuntutan yang mendesak pengecilan kepentingan Islam dan Melayu dalam dasar-dasar kerajaan. Untuk berdiam diri tanpa mengetengahkan pandangan mereka adalah mencemar amanah yang mereka galas terutama semasa kepimpinan dalam kerajaan dan pembangkang masih tidak memberikan komitmen kepada hal ini.
PENULIS ialah pengamal undang-undang.
Comments
Post a Comment