Alangkah baiknya kalau Cik Boo Su-Lyn sedar diri (Tanjak.my 10 Jul 2017)

Walaupun Perkara 152 dan 161 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan haruslah digunakan dalam semua urusan rasmi negara, namun sehingga kini masih ramai rakyat Malaysia yang buta sejarah, tuli perundangan dan jahil naratif kebangsaan hinggakan mereka dengan tega menidakkan apa yang sudah jelas termaktub.

Antara mereka yang jahil ini adalah Cik Boo Su-Lyn yang dengan riaknya bertanya “Jika orang luar boleh berbahasa Inggeris, mengapa tidak rakyat Malaysia?”

Apa yang membuatkan Cik Boo (gambar atas) begitu meroyan sehinggakan dia tergamak mempersoalkan kebolehan rakyat Malaysia untuk berbahasa Inggeris dengan baik?

Mengikut penceritaan beliau sendiri, soalan yang diajukan adalah bertitik tolak daripada pengalaman peribadinya. Menurut Cik Boo, beliau terkesima apabila mendapati pegawai-pegawai polis yang ditugaskan di kawasan ‘elit’ kelas menengah atas, yakni dalam kawasan Taman Tun Dr Ismail, gagal untuk menggunakan bahasa Inggeris semasa mereka menerima aduan yang dilaporkannya.

Tentu saja kejutan yang dia alami adalah kerana pada pandangannya, amatlah tidak berpatutan apabila ada lagi rakyat Malaysia yang tidak mampu untuk berbahasa Inggeris. Kegagalan untuk berbahasa Inggeris dilihat sebagai ketidakupayaan yang menjelikkan dan mampu merendahkan martabat negara.

Jelik sekali rakyat Malaysia di mata Cik Boo sehinggakan mereka dilihat berdiri lebih rendah daripada bangsa asing yang berniaga di Malaysia.

Sepatutnya ada pendidik di negara ini yang bangkit untuk menegur sikap angkuh, biadap dan tak sedar diri yang tumbuh teguh dalam diri Cik Boo serta mereka yang seangkatan dengan Cik Boo.

Seharusnya ada pendidik yang mengajar agar Cik Boo sedar kedudukan bahasa Inggeris di negara ini tidak boleh sama tinggi dengan bahasa Melayu.

Seharusnya Cik Boo mula belajar untuk menghormati peruntukan perlembagaan dan perundangan yang jelas menyatakan bahawa bahasa Melayu hendaklah digunakan dalam kesemua urusan rasmi.

Adalah amat dangkal, cetek pemikiran dan jumud untuk mengatakan kononnya dasar pendidikan negara sudah gagal untuk mempersiapkan rakyat Malaysia sebagai bangsa global semata-mata kerana Cik Boo melihat interaksi urusan rasmi yang berjalan dalam bahasa Melayu sebagai tanda bahawa pegawai awam di negara ini tidak boleh berbahasa Inggeris.

Cik Boo langsung menidakkan bahawa pegawai awam berbuat sedemikian kerana mereka bijak menghormati peruntukan perlembagaan, bukan seperti Cik Boo yang jahil murakab.

Walaupun Cik Boo berdolak-dalik berlakon kononnya menghormati bahasa Melayu namun lakonan Cik Boo tidak mampu menutup sikap pemuja Inggeris yang kukuh dalam dirinya.

Pemujaan Cik Boo harus dihentikan dan dia kena disedarkan bahawa bumi yang dipijak adalah Malaysia. Apabila perlembagaan negara jelas mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, maka seharusnya rakyat tidak mempersoalkan dan merendahkan peruntukan ini dengan memperkecilkan mana-mana pegawai awam yang menghormati peruntukan.

Pentutur bahasa Inggeris perasan diri hebat
Begitu juga dengan Abdar Rahman Koya yang merendahkan martabat bahasa Melayu apabila dia dengan sombong mengatakan bahawa bahasa Melayu tidak punya tempat untuk diangkat sebagai bahasa ekonomi, agama mahupun akademik. Hujahan penuh kekeliruan yang dimajukan Abdar Rahman hanya membuktikan bahawa dia, dan mereka seangkatan dengannya, hidup dalam kecelaruan.

Dalam satu perenggan Abdar Rahman mengakui penggunaan sesuatu bahasa haruslah secara semula jadi tanpa paksaan, namun dalam perenggan lain, dia dengan bongkak mengatakan bahawa tiada keperluan untuk menggunakan bahasa kebangsaan. Jadi apabila rakyat negara, tanpa paksaan, enggan menggunakan bahasa kebangsaan, apakah jalan lain yang ada untuk melaksanakan dasar penggunaan bahasa kebangsaan?

Malaysia disenaraikan di tangga ke-12 dalam EF English Proficiency Index. Sedangkan Singapura menduduki tangga ke-6 dan Filipina tersenarai di kedudukan ke-13. Namun, kecekapan rakyat Malaysia berbahasa Inggeris masih diragui Cik Boo.


Menteri Kesihatan S. Subramaniam (tengah) dari MIC
Sudah tentu Cik Boo girang apabila Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia mengumumkan kelonggaran syarat lulus bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tujuan lantikan secara kontrak pegawai perubatan UD41. Namun kegirangan ini tidak kekal lama apabila menteri kesihatan pula mengumumkan bahawa kesemua graduan perubatan masih perlu lulus bahasa Melayu untuk mendapatkan tempat di dalam hospital awam bagi menjalani latihan siswazah dan khidmat wajib.

Apakah salah untuk sesuatu kerajaan yang memerintah sesuatu negara bertindak menggunakan undang-undang, dasar, peruntukan dan peraturan untuk melaksanakan dasar membentuk identiti kebangsaan?

Jika salah, mengapa di United Kingdom Menteri Kesihatan mereka  boleh bertegas memperuntukkan bahawa doktor yang berkhidmat di UK haruslah mampu berbahasa Inggeris dengan baik?

Begitu juga halnya dengan sistem perubatan di Norway yang mengkehendakkan kebolehan berbahasa Norway atau mana-mana bahasa Scandinavia. Sama halnya dengan kelayakan untuk beramal sebagai pegawai perubatan di Sweden.

Hanya di Malaysia saja rakyatnya bongkak dengan identiti masyarakat minoriti mereka sehinggakan mereka akan menggunakan apa cara sekali pun untuk menolak segala peruntukan yang jelas bertujuan untuk menyatukan keseluruhan rakyat di bawah naratif kebangsaan yang seragam.

Mereka yang masih menggelarkan diri sebagai rakyat Malaysia wajib mengangkat setiap satu perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Merendah-rendahkan bahasa Melayu sebagai bahasa interaksi, komunikasi, pendidikan, perniagaan mahupun teknologi samalah dengan memperkecilkan peruntukan yang sedia ada. Jangan kerana sikap tidak sedar diuntung sesetengah pihak, naratif kebangsaan terhakis semata-mata dek kerana mereka merasakan diri mereka lebih hebat dengan fahaman naratif songsang mereka.

*Fatihah Jamhari adalah seorang peguam dan aktivis.

*Disiarkan kali pertama di Tanjak.my pada Julai 10, 2017

Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)